
KALABAKAN - Seorang lelaki tempatan ditahan selepas didakwa cuba menyogok pihak bertugas bagi melepaskan 47 warga asing termasuk pendatang asing tanpa izin (PATI) di Pusat Pemeriksaan Daratan (RPC) Kalabakan, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 6 pagi itu, suspek, 52, dikatakan cuba menyogok anggota polis dengan wang tunai berjumlah RM1,650 sebagai dorongan untuk melepaskan warga asing tersebut.
Terdahulu, kumpulan warga asing berkenaan bersama enam warga tempatan berusia antara empat hingga 80 tahun itu dalam perjalanan dari Kuala Penyu menuju ke Tawau.
Mereka yang menaiki beberapa kenderaan itu kemudian ditahan pihak berkuasa yang bertugas di RPC Kalabakan.
Komander Briged PGA Sabah Senior Asisten Komisioner (SAC) Abdul Rani Alias berkata, pemeriksaan menjumpai 47 warga asing dengan 26 daripadanya tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.
"Siasatan awal mendapati kumpulan itu dalam perjalanan pulang ke Indonesia menerusi Tawau selepas kontrak kerja di ladang getah tamat.
"Bagaimanapun, seorang lelaki tempatan telah cuba menyogok petugas dan meminta kumpulan itu dilepaskan," katanya.
Menurut Abdul Rani, amaran telah diberikan, namun, lelaki berkenaan tetap berkeras mahu kumpulan itu dilepaskan.
"Sehubungan itu, suspek dan semua warga asing itu ditahan bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia," katanya.
Polis turut merampas semua barangan termasuk kenderaan yang dianggarkan bernilai RM487,650. - Getaran, 4 Mac 2022
