
Kota Kinabalu: Seorang pengarah sebuah kolej swasta meminta dibicarakan atas 21 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM369,000.
Marsam Buhera membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar Manat, ketika semua pertuduhan terhadapnya dibacakan pada Selasa.
Atas pertuduhan pertama hingga ke-21, Marsam yang juga Pengarah Urusan Infoteguh Sdn Bhd yang memiliki Kolej Eastern, didakwa mengemukakan dokumen tuntutan mengandungi invois, senarai nama peserta, borang kehadiran peserta dan borang resit elaun peserta palsu.
Marsam didakwa mengemukakan dokumen tuntutan bagi tiga program Kolej Eastern iaitu operasi rangkaian komputer, pengurusan pejabat dan penyelia serta pengurusan pejabat.
Pertuduhan menyatakan peserta tidak cukup 20 orang dan peserta yang hadir tidak pernah menerima elaun.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Januari 2018 dan Ogos 2018 di Unit Perancang Ekonomi Sabah, di sini.
Kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai tuntutan palsu atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.
Mahkamah menetapkan 29 April untuk sebutan dan Marsam dibebaskan dengan ikat jamin RM20,000 deposit RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan.
Marsam juga diperintah melapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali.
Pegawai Pendakwa SPRM Dzulkarnain Rousan Hasbi melakukan pendakwaan manakala peguam Luqman Syazwan Zabidi, yang hadir untuk peguam Farazwin Haxdy mewakili Marsam.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
