Tapak baharu CIQS sempadan Malaysia-Indonesia di Tenom

15 Mar 2022 • 1:05 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah mengenal pasti tapak baharu untuk Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) dalam daerah Tenom yang menjadi sempadan Malaysia-Indonesia.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata tapak itu akan dibangunkan bagi memudahkan urusan keluar masuk di sempadan negara.

Pintu masuk negara sedia ada di Sabah kini terletak di Pulau Sebatik, Tawau; Pagalungan, Nabawan dan Serudong di Kalabakan.

“Saya ke Pagalungan, kawasan sana agak jauh....saya datang untuk melihat proses imigresen di sana dan dimaklumkan bahawa satu tapak untuk CIQS yang lebih sempurna (di Tenom) telah dikenal pasti untuk pembangunan pada masa depan,” katanya kepada pemberita selepas menyertai operasi bersepadu JIM di kawasan setinggan sekitar Kota Kinabalu di sini, Isnin.

Khairul Dzaimee berkata beliau turut melawat pintu masuk di Pos Kawalan Imigresen Merapok-Sindumin dan Mengkalap, Sarawak bagi melihat persediaan sebelum pintu sempadan negara dibuka semula 1 April ini.

Beliau berkata pembukaan semula sempadan negara itu akan membolehkan penghantaran pulang pendatang asing tanpa izin (PTI) ke negara asal mereka.

Katanya seramai 850 PTI dari negara jiran terlibat dalam proses tersebut dan ujian saringan Covid-19 mereka akan dibiayai ahli keluarga masing-masing.

Mengenai operasi tersebut yang dijalankan selama hampir empat jam bermula 11 malam Ahad, seramai 117 individu ditahan termasuk 71 orang kanak-kanak berumur antara dua hingga 10 tahun.

Khairul Dzaimee berkata kesemua tahanan warganegara Filipina itu dibawa ke lokap JIM Kota Kinabalu untuk proses dokumentasi.

Katanya, pihaknya mendapati penduduk di kawasan penempatan setinggan di pinggir Sungai Likas di sini mencuri sumber air dan elektrik, selain kawasan itu berbahaya untuk kesihatan awam.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.