Polis Kedah Tubuh Pasukan Khas Kawal Sempadan

31 Mar 2022 • 7:09 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Demonstrasi oleh Polis Kontijen Kedah sempena Majlis Perasmian Penugasan Sempena Pembukaan Pintu Sempadan Malaysia Thailand di ICQS Bukit Kayu Hitam. - Gambar oleh Alif Omar

BUKIT KAYU HITAM - Polis Kontinjen Kedah menubuhkan sebuah pasukan khas kawalan sempadan dianggotai pelbagai unit dan jabatan di dalamnya, bagi mengekang sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan menjelang pembukaan sempadan Malaysia dan Thailand, esok.

Menurut Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad, antara unit yang terlibat dalam penubuhan pasukan khas tersebut adalah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), unit kereta peronda polis (MPV), Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), sekatan jalan raya (SJR) serta Unit Anjing Pengesan (K9).

Katanya, pasukan khas itu akan berperanan melaksanakan Operasi Khas Sempadan secara tetap, melibatkan penyertaan antara 70 hingga 100 pegawai dan anggota.

“Pasukan khas ini akan turut menggunakan keanggotaan dari Balai Polis Bukit Kayu Hitam dan Balai Polis Changlun bagi membantu Pasukan Gerakan Am (PGA) yang sememangnya sentiasa bersiap siaga mengawal pintu masuk negara.

“Selain rondaan berkala secara berjalan kaki, bermotosikal serta menaiki kenderaan pacuan empat roda, pasukan khas kawalan sempadan ini akan turut melaksanakan rondaan di kawasan khas dan pemeriksaan di SJR,” katanya.

image is not available
Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad - Gambar oleh Aliff Omar

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penugasan Sempena Pembukaan Pintu Sempadan Malaysia-Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), di sini hari ini.

Bercakap dalam sidang akhbar selepas itu, Wan Hassan memaklumkan, pihaknya akan melaksanakan pemantauan terhadap keperluan di sempadan untuk menilai sama ada terdapat keperluan untuk menambah pegawai serta anggota dalam pasukan khas itu selepas ini.

“Rondaan pasukan ini tidak hanya tertumpu di Bukit Kayu Hitam atau Kubang Pasu saja malah turut merangkumi kawasan Durian Burung di Padang Terap melibatkan radius antara 30 hingga 40 kilometer.

“Jika dicampurkan dengan jumlah pegawai serta anggota PGA sedia ada, dianggarkan terdapat lebih 300 pegawai serta anggota polis yang akan melaksanakan tugas mengawal sempadan ketika ini.

“PGA akan memberi tumpuan di kawasan garis sempadan manakala pasukan ini di lokasi yang lebih dekat dengan komuniti, dalam wilayah kita,” katanya. - Getaran 31 Mac 2022.