400,000ha ladang hutan akan dibangunkan di Sabah

25 Mar 2022 • 2:10 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah diberitahu pada Khamis, sejumlah 400,000 hektar ladang hutan akan dibangunkan dalam kawasan hutan simpan di negeri ini untuk pengeluaran kayu hutan menjelang 2036.

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata pembangunan ladang hutan itu melibatkan kawasan Hutan Simpan Kelas II (Komersial) di bawah lesen jangka panjang Perjanjian Lesen Pengurusan Hutan Mampan (SFMLA).

Katanya ladang hutan itu dikenal pasti berdasarkan Pelan Pengurusan Hutan untuk pengeluaran kayu hutan dan selari dengan aspirasi Kerajaan Sabah melestarikan sumber hutan seperti dalam Teras 1, Dasar Hutan Sabah 2018, bagi mengoptimumkan pengeluaran hutan simpan secara mampan.

“Pembangunan ladang hutan ini adalah bagi meningkatkan keupayaan kapasiti pengeluaran kayu balak negeri sehingga enam juta meter padu setahun bagi menampung keperluan bekalan industri perkayuan negeri Sabah, dan seterusnya meningkatkan kutipan hasil negeri.

“Selain menambahkan stok dirian kayu hutan masa hadapan, usaha ini juga menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan, sekali gus membantu meningkatkan pembangunan sosioekonomi masyarakat,” katanya ketika menggulung perbahasan ucapan dasar Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin di sini, pada Khamis.

Sementara itu, Hajiji berkata kerajaan negeri dan agensi berkaitan telah menubuhkan sebuah konsortium untuk menerajui pelaburan baharu di Sipitang bagi menggiat dan mengaktifkan industri kayu-kayan di kawasan itu.

“Ini sekali gus akan menangani isu kebajikan pekerja Sabah Forest Industries (SFI) di kawasan terbabit. Pelaburan swasta baharu ini akan dipantau oleh kerajaan negeri dan yang paling penting pemilikan tanah perindustrian dan hutan akan tetap kekal sebagai hak negeri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri akan memastikan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ciqs) dilaksanakan segera di kawasan terlibat antaranya Nabawan sebagai persediaan perpindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan.

“Kerajaan negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri dan agensi-agensi pelaksana sedang giat memastikan agar projek ini dapat dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 melalui kerjasama dan peruntukan daripada agensi Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Mengulas mengenai bayaran premium Pecahbahagi Tanah untuk peneroka Felda berjumlah RM835,000 melibatkan 835 lot peneroka di negeri itu, Hajiji berkata kerajaan negeri berpendirian ia sepatutnya dijelaskan oleh pihak Felda dan bukan peneroka itu sendiri.

“Kerajaan negeri akan melihat perkara ini dengan pihak Felda selepas ini,” katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.