
Kota Kinabalu: Seorang wanita berusia 19 tahun, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, Isnin, atas pertuduhan melacurkan diri.
Zahratul Rosalinda Mohamad mengaku di hadapan Majistret Lovely Natasha Charles yang dia melakukan kesalahan itu terhadap seorang lelaki berusia 33 tahun pada 11.30 malam 2 Feb tahun ini di satu unit di sebuah pangsapuri di pusat bandaraya.
Bagaimanapun, Lovely menangguhkan kes ke 6 April ini sementara menunggu laporan sosial Zahratul disediakan.
Pertuduhan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, pihak pendakwaan memberitahu mahkamah bahawa sepasukan polis menyerbu unit tersebut semasa menjalankan Op Noda dan menemui Zahratul di dalam bilik bersama seorang lelaki, dan Zahratul mengaku mengenakan bayaran RM350 kepada lelaki itu untuk perkhidmatan tersebut.
Mahkamah juga diberitahu bahawa Zahratul mendapat pelanggan melalui orang tengah, yang akan menerima RM50 sebagai ganjaran mencari pelanggan, dan Zahratul telah terlibat dalam aktiviti tersebut sejak November tahun lepas.
Sementara menunggu tarikh itu, Zahratul diperintah reman lanjut kerana gagal membayar ikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin yang ditawarkan kepadanya apabila kesnya disebut kali pertama melalui Zoom pada 9 Feb.
Tertuduh tidak diwakili.
Dalam kes lain, seorang individu bekerja sendiri meminta dibicarakan terhadap tuduhan menyerang seorang lelaki.
Pang Kwong Lin, 47, dituduh menampar dan menumbuk Rahman Mohamad pada pukul 11.40 malam 12 Dis 2021 di Taman Millenium Heights, Penampang.
Pang didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Inspektor Kelvan Elson Maik memohon tarikh pengurusan kes.
Peguam Lim Ming Zoong @ Lawrence yang mewakili Pang memberitahu mahkamah bahawa tertuduh diikat jamin mahkamah.
Mahkamah menetapkan 19 April untuk pengurusan kes dan melepaskan Pang dengan lanjutan jaminan.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.


