Penghuni 15 Kediaman Diarah Berpindah, Tanah Runtuh Susulan Dikesan Berlaku

13 Mar 2022 • 4:22 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Lokasi kejadian tanah runtuh yang berlaku pada 10 Mac di Taman Bukit Permai 2 Ampang. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR - Penghuni 15 buah rumah di Taman Bukit Permai 2 diarahkan mengosongkan kediaman mereka disebabkan kejadian runtuhan tanah susulan berhampiran kawasan tanah runtuh, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner (ACP) Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian sekitar jam 7 malam itu berlaku di lokasi sama yang dilanda tragedi tanah runtuh Khamis lalu, namun tidak membabitkan sebarang kemalangan atau kemusnahan harta benda.

“Berdasarkan kajian risiko, kejadian terbaharu ini dikhuatiri memberi kesan kepada beberapa kediaman di Taman Bukit Permai yang terletak di atas bukit dan berhampiran dengan kawasan tanah runtuh.

“Melihat kepada situasi itu, polis dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengadakan rundingan dengan penduduk dan memutuskan untuk mengarahkan 15 rumah dikosongkan, manakala mereka berpindah sementara demi keselamatan masing-masing,” katanya hari ini.

Beliau berkata, pasukan teknikal yang terdiri daripada Jabatan Kerja Raya (JKR), Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan MPAJ masih menjalankan kajian berhubung tahap kestabilan tanah di lokasi terbabit.

Khamis lalu, empat nyawa melayang dalam kejadian tanah runtuh di lokasi terbabit manakala seorang lelaki warga emas cedera ringan.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 5.45 petang itu turut mengakibatkan 15 rumah terjejas teruk dengan dua daripadanya tertimbus secara total, selain memusnahkan 10 kenderaan. - Getaran, 13 Mac 2022