Pemain Beregu Lelaki Negara, Wooi Yik Tarik Diri Terbuka Jerman Akibat COVID-19

7 Mar 2022 • 1:15 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Wooi Yik tidak bergejala dan dalam keadaan baik. - Gambar dari Instagram Wooi Yik

KUALA LUMPUR - Pasangan beregu badminton negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik terpaksa menarik diri daripada menyertai kejohanan Terbuka Jerman yang dijadual berlangsung pada 8-13 Mac selepas Wooi Yik, disahkan positif COVID-19.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam satu kenyataan berkata pemain berusia 24 tahun itu tidak bergejala dan dalam keadaan baik.

Menurut BAM Wooi Yik kini sedang mengasingkan diri mengikut prosedur operasi standard Kementerian Kesihatan, Kementerian Belia dan Sukan, serta protokol Majlis Sukan Negara.

“Pasukan kejurulatihan dan perubatan BAM akan terus memantau proses pemulihannya sebelum memutuskan mengenai penyertaannya di All England yang dijadualkan  berlangsung dari 16-20 Mac di Birmingham.

“Semua orang di BAM mendoakan agar Wooi Yik cepat sembuh,” kata BAM.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 Aaron-Wooi Yik itu diundi menentang rakan senegara Goh V Shem-Low Juan Shen dalam pusingan pertama Terbuka Jerman. - Bernama