Sambutan setahun HTSMJ tawar lebih 2,500 peluang pekerjaan

27 Mar 2022 • 4:04 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

KOTA KINABALU: Beberapa program yang terbuka kepada orang ramai akan diadakan sempena sambutan Setahun Hala Tuju Sabah Maju Jaya (HTSMJ), di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada 28-30 Mac ini.

Antara program tersebut adalah pameran Setahun SMJ dan Career Gig-SMJ.

“Pameran Setahun SMJ ini yang melibatkan 28 pempamer terdiri daripada kementerian, jabatan, agensi Negeri dan Persekutuan, syarikat pelabur, syarikat minyak dan gas berlangsung selama tiga hari bermula 28 Mac, di Dewan Kinabatangan II, SICC, bermula jam 9 pagi hingga 6 petang,” menurut kenyataan Pejabat Media dan Komunikasi Jabatan Ketua Menteri (JKM), Ahad.

Aktiviti ini bertujuan mempamerkan pencapaian inisiatif HTSMJ selama setahun.

“Manakala, kepada orang ramai dan belia yang masih mencari peluang pekerjaan, program Career Gig-SMJ pula akan di Dewan Kinabatangan III, Sabah International Convention Centre (SICC), pada 29 Mac, mulai jam 9 pagi hingga 5 petang.

“Lebih 2,500 jawatan kosong ditawarkan oleh majikan dari pelbagai sektor dan industri antaranya jurutera projek, jurutera mekanikal, jurutera elektrik, pereka grafik, pengurus sumber manusia, agen takaful, konsultan spa, kerani, pengurus akaun dan pengurus pemasaran.”

Program ini anjuran Jabatan Pembangunan Sumber Manusia dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Antara majikan yang menawarkan peluang pekerjaan adalah syarikat swasta serta agensi perhotelan terkemuka seperti SK Nexilis Malaysia Sdn Bhd, SBH Kibing Solar New Materials (M) Sdn Bhd, Talent Suites Sdn Bhd, Agensi Pekerjaan Kaizen Sdn Bhd, Petra Resources Sdn Bhd, Adabi Consumer Industries Sdn Bhd, Zarrich Empire Sdn Bhd, BTC Maju Holdings Sdn Bhd, Marriott Hotel, Sutera Harbour Resort, Allianz General Insurance Co (M) Bhd, Mosulu Construction & Engineering dan Ibis Styles Hotel.