
Kota Kinabalu: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Mohd Noor dijangka akan merasmikan majlis penutupan Kejohanan Bola Sepak Piala Sabah di Stadium Likas pada 27 Mac.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan, Persatuan Bolasepak Sabah (Safa), Azman Mastar berkata Hajiji akan menyampaikan hadiah dan trofi kepada pemenang-pemenang dan Presiden Safa, Datuk Seri Bung Moktar Radin dijangka akan turut hadir.
Azman berkata lapan zon akan mengambil bahagian dalam kejohanan itu yang sebelum ini dikenali sebagai Piala Ketua Menteri dan mereka akan diwakili oleh pemenang zon masing-masing.
Zon yang terlibat ialah Pantai Barat (Kota Kinabalu, Putatan, Papar dan Penampang), Pantai Barat Utara (Kudat, Pitas, Kota Marudu dan Matunggong), Pantai Barat Timur (Tuaran, Kota Belud, Kiulu dan Tamparuli), Pedalaman Atas (Keningau, Tenom, Nabawan dan Tambunan), Pantai Barat Selatan (Beaufort, Sipitang, Membakut, Kuala Penyu, Menumbok dan Labuan), Pantai Timur Selatan (Tawau, Semporna, Kalabakan, Kunak dan Lahad Datu), Pantai Timur Utara (Sandakan, Beluran, Kinabatangan dan Libaran) dan Zon Tengah (Telupid, Ranau dan Tongod).
Menurut beliau, setakat ini hanya Pantai Timur Utara, Zon Tengah, Pantai Timur Selatan, Pantai Barat dan Pantai Barat Timur yang sudah menetapkan tarikh dan venue kejohanan masing-masing.
“Kami yakin tiga lagi zon sedang dalam proses menetapkan tarikh dan venue kejohanan mereka kerana mereka mesti berbuat demikian sebelum Grand Final,” katanya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.



