#PetuaHidup Empat (4) Perkara Untuk Bercuti Dengan Keluarga Pada Kos Minimum Tetapi Tetap Menggembirakan

Family & Parenting
5 Mar 2022 • 9:00 AM MYT
Bidasari Bahashim
Bidasari Bahashim

A blogger who love books, movies, music, food and traveling

image is not available

Masih terdapat lebih kurang enam belas (16) hari lagi cuti sekolah bagi bulan Mac ini untuk kita rancangkan sesi bercuti atau berjalan-jalan bersama keluarga.

Sememangnya berdasarkan statistik, peningkatan kes Covid-19 di Malaysia semakin menggusarkan. Ada keluarga yang memang duduk di rumah sahaja sebab risaukan keadaan semasa. Ada juga yang membawa keluarga makan di luar, mengambil angin petang di pantai, membawa anak-anak ke taman permainan, pusat membeli belah dan sebagainya. Apa pun keputusan kita jangan lupa mempraktekkan semaksimal mungkin SOP yang digariskan terutamanya jarak 1 meter, basuh tangan, pakai mask dan sebagainya.

Dalam tempoh dua (2) tahun kita menempuh Covid19 ini, kita sedar yang banyak perbelanjaan yang perlu dijimatkan tetapi sekiranya ada rezeki, kita boleh usahakan untuk bercuti dengan keluarga dengan kos seminimum mungkin.

Den cuba kongsikan empat (4) tips yang den biasa amalkan bila merancang sesi berjalan-jalan dengan keluarga kecil den:

1. Penginapan Hotel Bajet

Ini memang tema percutian den sejak dahulu kala sebab bagi den, kita hanya perlukan tempat untuk tidur di waktu malam, melepaskan lelah, berehat, dan bersantai sebentar sebelum kita keluar membuat pelbagai aktiviti.

Hotel bajet sekarang pun banyak yang cantik-cantik. Ada yang menyediakan ruang untuk kita bergambar sakan punya. Yang penting bagi den adalah bilik hotel tersebut kemas, bersih, dan selesa.

Kebanyakan hotel bajet sememangnya tidak menyediakan sarapan pagi tetapi ini adalah peluang untuk kita merasa sarapan pagi yang dijual di kedai-kedai di sekitar kawasan tempat kita berjalan-jalan.

2. Makan Di Tempat Yang Tidak Viral

Tempat yang biasanya diviralkan di media sosial bukan sahaja selalunya penuh dengan orang, namun kadang-kadang rasa makanannya biasa-biasa tetapi harganya adalah agak hipster.

Selalunya kami sekeluarga singgah makan di gerai atau kedai yang kami terjumpa di perjalanan untuk ke sesuatu tempat. Kebiasaannya kedai-kedai yang tidak viral dan comel sahaja makanannya lebih sedap (mungkin dimasak dengan penuh kasih sayang) dan harganya biasanya mampu milik.

Kalau bercuti memang jarang sangat den makan makanan segera atau makanan hipster sebab di samping tekak memang tekak orang Melayu asli, harga makanan sebegini biasanya memang agak mahal dan kita boleh jumpa makanan sebegini di sekitar tempat kita bermastautin.

3. Pilih Tempat Yang Percuma

Den suka bawa budak-budak ke tempat yang terkait dengan alam semulajadi secara tidak langsung seperti pantai dan sungai sebab tempat sebegini biasanya percuma, di samping itu budak-budak memang gembira mandi laut dan sungai. Sakan mereka mandi sampai kecut-kecut jari!

Pantai dan sungai juga merupakan terapi minda untuk kita orang dewasa yang sangat sibuk menguruskan kehidupan harian. Celup kaki di dalam air sungai sejuk yang mengalir memang membahagiakan. Berjalan di gigi pantai sambil membiarkan kaki dihempas manja oleh ombak adalah antara perkara yang den paling suka lakukan di pantai.

Bahagia itu sederhana, kan?

Ada sesetengah tempat seperti Pusat Pemuliharaan Penyu, Empangan Mengkuang, beberapa muzium seperti Muzium Tentera Darat tidak mengenakan sebarang bayaran untuk masuk ke tempat-tempat tersebut sebab tempat-tempat ini berada di bawah seliaan Kerajaan.

Nanti bila berkesempatan den senaraikan tempat-tempat percuma yang den pernah pergi bersama keluarga ye.

4. Pilih Tempat Dengan Tiket Masuk Yang Tidak Terlalu Mahal

Kita boleh pilih tempat yang mengenakan tiket yang tidak begitu mahal sekiranya tempat tersebut berada di kawasan yang kita hendak berjalan-jalan.

Muzium kebiasaannya mengenakan tiket masuk yang sangat minima. Ada yang tidak sampai RM5 bagi dewasa.

Terdapat pelbagai tempat tarikan keluarga yang menarik mengenakan tiket masuk kurang RM10 bagi seorang dewasa.

Tempat-tempat sebegini sememangnya menjadi pilihan den sekeluarga apabila bercuti.

Benar kalau mempunyai peruntukan yang besar, kebiasaannya lagi seronok sesuatu percutian tetapi percutian bajet pun menggembirakan juga sebenarnya. Tepuk dada tanya selera begitu.

Tema den daripada dulu apabila hendak bercuti adalah dapat berjalan-jalan tengok tempat menarik yang kita tidak pernah pergi, dapat menjamu selera di tempat yang kita tidak pernah makan, dapat menginap di hotel walaupun comel dan dapat menghabiskan masa dan berehat bersama keluarga tetapi pada kos yang tidak akan membuatkan dompet den koyak rabak begitu.

#Lifehacks / #PetuaHidup / #生活小妙招


Bidasari Bahashim adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!

*Newswav adalah platform pengagregatan dan semata-matanya mengehoskan kandungan. Pandangan yang dinyatakan dan kandungan di atas termasuk media (gambar, video, dan lain-lain) adalah dimuatnaik oleh pengarang. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.