#TahukahAnda Terdapat Sekurang-Kurangnya Lima (5) Empangan di Malaysia Dibuka Kepada Orang Awam Untuk Tujuan Rekreasi

Travel
13 Mar 2022 • 9:00 AM MYT
Bidasari Bahashim
Bidasari Bahashim

A blogger who love books, movies, music, food and traveling

image is not available

Empangan merupakan salah satu komponen penting di dalam pengurusan sumber air di kebanyakan negara di dunia.

Empangan pertama di dunia yang direkodkan Empangan Dujiangyan adalah di Sungai Minjiang, Sichuan, China. Empangan hidroelektrik yang pertama di Malaysia yang siap dibina pada 1930 adalah Empangan Hidro Tasik Chenderoh yang terletak 21 km ke utara bandar Kuala Kangsar. Empangan Klang Gates (Empangan Bukit Tabur) yang siap dibina pada 1958 adalah empangan pertama di Malaysia yang dibina bagi tujuan bekalan air.

Pembinaan empangan kadang kala menjadi topik perdebatan di antara Kerajaan, saintis, aktivis alam sekitar, badan bukan kerajaan dan sebagainya kerana pembinaan empangan kebiasaannya akan melibatkan kehilangan flora dan fauna walaupun penilaian alam sekitar terperinci dilaksanakan. Kalau masih diingat pada tahun 2000, terdapat sebuah badan bukan kerajaan iaitu Save Our Sungai Selangor (SOS Selangor) berkaitan cadangan pembinaan Empangan Sungai Selangor. Walaupun SOS Selangor menggariskan beberapa perkara tentang cadangan dan pertanyaan tentang rasional pembinaan Empangan Sungai Selangor, empangan ini akhirnya tetap dibina.

Kegunaan Empangan

Kebiasaannya apabila disebutkan tentang empangan, apa yang selalunya terlintas di fikiran kita adalah empangan yang memang dikhususkan fungsinya sebagai empangan sumber air/bekalan air sahaja. Kebanyakan empangan di Malaysia sememangnya dibina bagi menakung atau mengepung sumber air di dalam kuantiti tertentu bergantung kepada kapasiti rekabentuk empangan bagi tujuan bekalan air. Sumber air di dalam empangan ini akan dilepaskan mengikut had dan kadar alir yang telah ditetapkan berdasarkan keperluan iaitu apabila level paras air sungai rendah dan tidak optimum untuk diabstrak airnya oleh loji pengambilan air (water intake point/plant) di mana air sungai ini seterusnya dirawat di loji pemprosesan air (water treatment plant) sebelum bekalan air bersih terawat yang mematuhi piawaian untuk kegunaan orang awam disalurkan ke paip-paip utama dan akan berakhir di pili air semua rumah yang termasuk di dalam jaringan bekalan air ini.

Majoriti empangan di Malaysia dibina bagi tujuan bekalan air. Di Selangor contohnya, lima (5) daripada kesemua tujuh (7) empangan yang tersedia adalah bagi tujuan bekalan air iaitu Empangan Sungai Selangor, Empangan Sungai Tinggi, Empangan Langat, Empangan Semenyih dan Empangan Tasik Subang.

Terdapat empangan yang dibina khusus bagi tujuan kawalan atau tebatan banjir sahaja di mana empangan seumpama ini dibina bagi mengawal pelepasan air dari sesuatu kawasan agar tidak melebihi had yang telah dibuat pengiraan bagi mengelakkan banjir. Empangan Batu adalah salah satu contoh empangan bagi tebatan banjir.

Sesetengah empangan mempunyai dwi fungsi iaitu bagi tujuan bekalan air dan kawalan banjir. Empangan Klang Gates dan Empangan Batu di daerah Gombak adalah merupakan empangan dwifungsi bagi tujuan tebatan banjir dan bekalan air mentah yang dioperasikan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia.

Empangan Bakun di Sarawak merupakan antara empangan yang dibina bagi tujuan penjanaan kuasa hidroelektrik. Empangan Bakun boleh dikatakan antara empangan yang paling kontroversi di Malaysia kerana tempoh pembinaannya yang berpanjangan (den pun tidak pasti samada empangan ini siap sepenuhnya sekarang). Empangan Bakun juga disenaraikan sebagai ‘Monuments of corruption‘ di dalam Global Corruption Report 2005 oleh Transparency National. Isu alam sekitar dan sosial yang melibatkan pemindahan orang asal terutamanya di kalangan Kayan/Kenyah sentiasa akan menjadi igauan ngeri untuk sejarah Malaysia.

Empangan Adalah Kawasan Larangan

Kebanyakan empangan di Malaysia dan beberapa negara lain di dunia adalah merupakan kawasan larangan kerana ianya merupakan kawasan sasaran penting. Bagi negeri Selangor, ketujuh-tujuh empangannya dikategorikan sebagai kawasan sasaran penting di bawah kawalan dan seliaan Majlis Keselamatan Negeri (MKN) di mana semua yang berhasrat untuk melawat mana-mana empangan ini perlu mendapat kebenaran dan pelepasan daripada MKN.

Peraturan tentang empangan kategori kawasan sasaran penting adalah ketat dan tegas di mana sesiapa yang mendapat kebenaran untuk melawat mana-mana empangan tidak dibenarkan untuk berkongsi gambar-gambar yang diambil di kawasan empangan di dalam mana-mana media sosial.

Walaupun pemantauan dan penguatkuasaan berkala dilakukan secara berterusan oleh pihak berwajib dan operator empangan, terdapat juga mereka yang tidak bertanggungjawab menceroboh kawasan empangan bagi tujuan memancing dan berkhemah. Isu utama yang dihadapi sekarang adalah penerbangan dron di kawasan empangan yang seterusnya merekodkan gambar dan video empangan. Sekiranya dapat ditangkap, mereka boleh dikenakan tindakan kerana menerbangkan dron dan mengambil gambar serta merakam video di kawasan larangan.

Empangan Yang Dibuka Untuk Riadah di Malaysia

Walaupun kebanyakan empangan di Malaysia adalah merupakan kawasan larangan tetapi terdapat beberapa empangan yang dibuka kepada orang awam untuk tujuan riadah dan rekreasi di Malaysia.

Penduduk di Pulau Pinang sangat beruntung kerana terdapat tiga (3) empangan di negeri tersebut yang dibuka kepada orang awam untuk aktiviti riadah.

Empangan Mengkuang, Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang, Pulau Pinang di bawah seliaan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) dibuka kepada orang ramai untuk tujuan aktiviti rekreasi.

Siapa pernah ke ketiga-tiga empangan ini? Den hanya pernah menjejakkan kaki ke Empangan Air Itam dan Empangan Mengkuang.

Den berpeluang ke Empangan Air Itam di dalam satu lawatan teknikal yang dianjurkan oleh pejabat. Makanya disebabkan ianya adalah lawatan rasmi, jadinya kami dibenarkan membawa kenderaan hingga ke atas empangan. Tidaklah penat semasa lawatan ke sini.

Den hanya sampai di pintu hadapan Empangan Mengkuang sahaja kerana tidak sanggup untuk menapak naik ke atas empangan. Den ke sini bersama keluarga den.

Apakah aktiviti-aktiviti yang dibenarkan di ketiga-tiga kawasan ini?

Kebiasaannya orang awam membuat aktiviti riadah berlari dan berjalan di ketiga-tiga empangan ini. Sememangnya ketiga-tiga empangan ini merupakan lokasi yang terbaik untuk beriadah kerana laluan tersedia yang sesuai untuk kedua aktiviti ini di samping pemandangan yang sangat indah. Empangan di mana-mana biasanya mempunyai pemandangan yang menakjubkan kerana ianya dikelilingi oleh air dan pokok-pokok. Memang sangat sesuai untuk terapi mata dan minda.

Bagi mereka yang berada di Lembah Klang dan teringin hendak melihat bagaimana rupa empangan secara sekilas pandang, bolehlah berkunjung ke Taman Botani Negara Shah Alam di bawah seliaan Jabatan Perhutanan Negara di mana terdapat dua (2) empangan di sini iaitu Empangan Sungai Baru dan Empangan Air Kuning.

Empangan Sungai Baru merupakan empangan yang membekalkan air kepada penduduk Klang Utara pada tahun 1930 hingga 1960-an, yang mana sekarang menjadi habitat pelbagai jenis ikan air tawar.

Semasa lawatan terakhir den ke sini, den sempat melawat Empangan Air Kuning di mana ianya terbuka kepada orang awam untuk membuat aktiviti memancing dengan bayaran tertentu serta aktiviti berehat-rehat mengambil angin di pondok yang tersedia di situ.

Sila buat semakan dulu dengan Taman Botani Negara Shah Alam sekiranya berhasrat hendak melawat kedua-dua empangan ini kerana kadang kala, kedua-dua empangan ini ditutup kepada orang ramai atas tujuan keselamatan.

Ada sesiapa mempunyai maklumat tentang empangan lain di Malaysia yang dibuka kepada orang awam untuk tujuan riadah dan rekreasi? Sekiranya ada, bolehlah berkongsi maklumatnya dengan den ye.

Empangan yang den berkesempatan melawat semasa kursus di Bangkok pada Jun 2016 adalah Empangan Khun Dan Prakan Chon yang sememangnya dibuka kepada orang awam untuk tujuan rekreasi siap disediakan tram untuk kita melawat di sekitar empangan. Tersedia kiosk menjual makanan dan minuman lagi di situ. Berdasarkan taklimat oleh Royal Irrigation Drainage, Raja Thailand mencadangkan supaya empangan ini dibina bagi mengatasi masalah kekurangan air semasa musim kering bagi tujuan pengairan bagi tujuan pertanian.

Empangan Farmoor di Oxfordshire juga dibuka kepada orang awam untuk memancing, jogging, bird watching dan beriadah. Den berkesempatan melawat ke sini pada tahun 2019.

Seronok juga sebenarnya kalau dapat beriadah di kawasan empangan tetapi kalau ianya melibatkan isu keselamatan di peringkat negara iaitu di mana kawasan empangan telah diwartakan sebagai kawasan larangan atau kawasan sasaran penting, kita cari tempat riadah yang lain ye sebab keselamatan dan kesihatan sudah pasti menjadi keutamaan dalam apa-apa situasi pun.

#DidYouKnow / #TahukahAnda / #你知道吗


Bidasari Bahashim adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!

*Newswav adalah platform pengagregatan dan semata-matanya mengehoskan kandungan. Pandangan yang dinyatakan dan kandungan di atas termasuk media (gambar, video, dan lain-lain) adalah dimuatnaik oleh pengarang. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.