
Kepada ibu bapa yang keberatan hendak membawa anak-anak ke mana-mana apabila hari cuti kerana risau akan peningkatan jangkitan Covid-19 yang semakin menggusarkan hati, tidak dapat mengambil cuti panjang untuk bercuti kerana kekangan kerja dan sebagainya, masih terdapat pelbagai aktiviti kita boleh lakukan bersama anak-anak kita bagi memastikan masa terluang mereka tidak hanya terisi dengan aktiviti yang melibatkan gajet.
Den kongsikan enam (6) aktiviti yang kita boleh buat bersama anak-anak kita di mana tidak melibatkan sebarang kaitan dengan sebarang gajet, televisyen dan sebagainya yang terkait digital.
1. Permainan Papan (Board Game)
Ini adalah jenis permainan kegemaran anak-anak den. Ada banyak pilihan permainan papan sebenarnya tetapi kami selalu bermain dam ular dan tangga, dam haji, catur, monopoli (saidina), dan scrabble.
Monopoli adalah permainan papan yang menceriakan sebab melibatkan duit yang berwarna-warni, nama tempat dan sebagainya. Permainan monopoli ini merupakan permainan kami sekeluarga.
Dam ular dan tangga juga adalah permainan yang mengundang rasa gembira terutamanya apabila asyik bertemu jodoh dengan ular sahaja sepanjang permainan.
Scrabble adalah permainan yang menguji penguasaan kita terhadap kosa kata. Ini pun menarik sebenarnya.
Den sememangnya tidak berjodoh dengan catur kerana walaupun anak-anak den mengajar den beberapa kali tentang apa fungsi raja, permaisuri, gajah, kuda, castle dan askar, den tetap keliru sampai ke sudah.
Dam haji adalah permainan papan yang paling mudah den rasa.
Adakah karom dikategorikan sebagai permainan papan? Permainan yang tidak kurang mengujakan cuma nanti akan berakhir dengan jari jemari yang sedikit sakit.
2. Permainan Tradisional
Sesiapa yang mempunyai rumah di atas tanah yang tersedia laman boleh cuba bermain konda-kondi, layang-layang, teng teng, galah panjang, lompat getah, baling tin, baling selipar, rounders dan lain-lain.
Budak-budak pasti sangat gembira dapat bermain semua permainan di atas sekiranya diberi peluang. Bukan sahaja permainan ini akan mengeluarkan peluh dan menjadikan badan lebih sihat tetapi kebanyakan permainan di atas menerap semangat sepasukan bekerjasama.
Bagi kita ibu bapa, bermain permainan tradisional ini bersama anak-anak membawa kita mengimbau kenangan zaman kanak-kanak dahulu, satu zaman yang paling menggembirakan kerana kita hanya sibuk bermain bersungguh-sungguh tanpa perlu risaukan perkara berkaitan bertahan hidup.
Bagi mereka yang tinggal di rumah merpati bertingkat (apartment, flat dan sebagainya), boleh juga bermain permainanan tradisional bersama anak-anak seperti congkak dan batu seremban. Ini pun sebenarnya menarik sebab anak-anak zaman sekarang ramai yang tidak berpeluang terdedah dengan permainan ini.
3. Memasak atau Baking
Tidak kira anak kita lelaki atau perempuan, aktiviti memasak atau baking bersama-sama bukan sahaja boleh memperkenalkan anak-anak kepada dunia masakan dan kulinari tetapi ia juga merupakan antara kemahiran bertahan hidup yang sebenarnya perlu dipelajari oleh anak-anak.
Tidak perlu resepi yang memerlukan bahan-bahan yang pelbagai dan sukar kerana anak-anak ini perhatiannya cepat teralih dan mereka cepat berasa bosan. Pilih masakan yang ringkas, cepat, mudah disediakan dan menarik.
Den biasanya masak biskut bersama anak-anak den.
4. Jigsaw Puzzle
Ini sememangnya aktiviti yang menguji kesabaran kerana bergantung kepada betapa sukar puzzle yang dipilih dan berapa bilangan puzzle tersebut, sesebuah puzzle boleh mengambil masa antara satu (1) hari sehingga satu (1) minggu untuk disiapkan.
Kebiasaannya corak pilihan puzzle adalah pilihan anak-anak di mana bilangannya 500 keping. Setakat ini kami telah buat beberapa puzzle dinosaur, peta dunia dan kartun. Jingsaw puzzle pilihan den iaitu 1000 keping gambar pemandangan masih berada di dalam kotak yang entah bila hendak dibuka.
5. Teka-Teki Menggunakan Kamus Bergambar
Ini antara aktiviti kegemaran anak-anak den. Merujuk kepada kamus bergambar, kami akan saling memberikan petunjuk kepada teka-teki berdasarkan gambar di dalam kamus tersebut.
Nampak macam simple kan tetapi ianya tetap merupakan aktiviti yang menarik di samping menambah ilmu pengetahuan secara santai.
6. Membaca
Ini merupakan aktiviti yang paling jenuh hendak dibuat bersama anak-anak den kerana mereka begitu cintakan gajet.
Sekali sekala den akan minta mereka membaca bersama-sama dengan den. Kalau mereka baca komik pun semasa den baca novel, ianya adalah sesuatu yang membahagiakan untuk diri den.
Sebenarnya terdapat pelbagai pilihan aktiviti yang boleh dilakukan bersama anak-anak tanpa perlu keluar dari rumah. Sekiranya perlu keluar rumah pun, hanya perlu berada di persekitaran rumah. Menarik kan?
Mari kita habiskan masa membuat aktiviti bersama anak-anak sementara mereka masih berada dengan kita sebagai kenangan manis di dalam hidup kita.
#Lifehacks / #PetuaHidup / #生活小妙招
Bidasari Bahashim adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!
*Newswav adalah platform pengagregatan dan semata-matanya mengehoskan kandungan. Pandangan yang dinyatakan dan kandungan di atas termasuk media (gambar, video, dan lain-lain) adalah dimuatnaik oleh pengarang. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.

