
SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan kompaun RM1,000 kepada Mentor DAP, Lim Kit Siang kerana berpelukan dalam satu majlis sosial ketika Kongres Ke-17 parti berkenaan pada Ahad.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menerusi ciapan di Twitternya pada Selasa.
Khairy turut memuat naik kompaun yang tertera tarikh kesalahan iaitu 20 Mac lalu di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam dan diterima oleh anak Kit Siang, Lim Hui Ming.
Beliau turut menerangkan kesalahan iaitu Perkara 16 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 iaitu enggan mematuhi apa-apa arahan oleh Ketua Pengarah dengan berpelukan dalam majlis sosial.
Pada Isnin, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi hantaran di Facebooknya mempersoalkan mengenai Kit Siang yang tidak dikenakan kompaun selepas berpelukan di kongres tersebut.
Dalam ciapan sama, Khairy turut berharap Najib membayar satu kompaun yang dikeluarkan kepadanya ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang masih belum diselesaikan.
“KKM juga berharap Najib menerima empat lagi kompaun yang dihantar melalui pos daftar yang enggan diterima oleh pegawai Datuk Seri sebelum ini,” ciapnya di Twitter itu.

