
Kota Kinabalu: Sabah menyaksikan penurunan kes kepada 2,174 pada Isnin berbanding 2,874 sehari sebelumnya apabila lebih banyak tunggakan diselesaikan, kata Jurucakap Covid-19 Sabah Datuk Seri Masidi Manjun.
“Namun begitu, peratusan jangkitan sporadik masih kekal tinggi iaitu 62.47 peratus dan boleh menyebabkan kes meningkat pada bila-bila masa.
“Penurunan kes ini disebabkan oleh tunggakan yang telah diselesaikan di beberapa daerah seperti Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan,” katanya dalam satu kenyataan, Isnin.
Sementara itu, sebelas kematian direkodkan dengan tiga di Tawau, dua di Penampang dan masing-masing satu di Ranau, Nabawan, Kudat, Beaufort, Keningau dan Kota Kinabalu. Tiada kluster baharu dikenal pasti.
Masidi berkata Kota Kinabalu terus menduduki senarai teratas dengan 555 kes, diikuti Penampang (252), Putatan (223), Papar (204), Tuaran (181), Keningau (105) dan Kota Belud (101).
“Sebanyak 17 daerah mencatatkan dua digit kes, dua daerah mencatatkan satu digit manakala Semporna merupakan daerah tunggal yang tidak mencatatkan kes baharu pada Isnin,” katanya.
Daripada 2,174 jumlah kes, 246 melibatkan kanak-kanak berumur 11 tahun ke bawah di mana 121 daripadanya adalah kanak-kanak di bawah lima tahun.
Masidi berkata majoriti kes adalah jangkitan ringan, dengan 2,150 daripada 2,174 kes adalah jangkitan kategori satu dan dua, iaitu 98.9 peratus.
“Lapan kes adalah dalam kategori tiga, 10 dalam kategori empat dan enam dalam kategori lima,” tambahnya.
Seramai 4,312 pesakit Covid-19 dibenarkan keluar hospital manakala 1,739 pesakit menerima rawatan di hospital, pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah (PKRC), penjara/pusat tahanan sementara dan kemudahan swasta.
Mengenai program imunisasi Sabah, Masidi berkata 11,513 individu telah divaksin pada 27 Februari, di mana 8,872 adalah dewasa manakala 83 adalah remaja dan 2,558 adalah kanak-kanak.
Sehingga 27 Februari lepas, katanya, seramai 2,413,373 individu telah melengkapkan kedua-dua dos, di mana 77.29 peratus adalah dewasa, manakala 2,503,412 telah mendapat dos pertama, di mana 78.01 peratus adalah dewasa.
Masidi menambah, seramai 338,778 remaja telah menerima dos pertama mereka, manakala 313,653 telah melengkapkan kedua-dua dos iaitu 73.59 peratus daripada populasi remaja. Sejumlah 45,381 kanak-kanak telah menerima dos pertama mereka.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

