
Kota Kinabalu: Seorang lelaki berumur 44 tahun didakwa menyebabkan kecederaan terhadap seorang wanita ketika menyamunnya.
Mohd Sofian Salleh mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus.
Dia didakwa menyebabkan kecederaan terhadap Jequelyn Jaimin, 29, ketika merompak empat kad ATM, lesen memandu dan wang tunai RM500.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pukul 8.45 pagi pada 23 Februari tahun ini di hadapan Agro Bank, Plaza 22, di Papar.
Pertuduhan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga dua puluh tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 7 April untuk pengurusan kes dan membebaskan Mohd Sofian dengan ikat jamin RM10,000 deposit RM5,000 beserta dua orang penjamin tempatan.
Mohd Sofian juga diperintah melapor diri di balai polis dua minggu sekali serta pasportnya jika ada, ditahan oleh mahkamah sehingga kesnya selesai.
Mahkamah turut memberi amaran kepada Mohd Sofian agar tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Terdahulu pada prosiding itu, peguam Nabila Norsahar yang mewakili Mohd Sofian, ketika meminta ikat jamin, memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya telah direman selama 13 hari dan semasa di reman dia pengsan dua kali dan menghidap diabetes.
Timbalan Pendakwa Raya Dacia Jane Romanus mendakwa.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
