MB Johor: Tempah Barang Lain, Sampai Benda Lain

Politics
18 Mar 2022 • 5:07 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Ahmad Zahid Hamidi - Gambar Syeda Imran

KUALA LUMPUR - ''Biarpun kita tempah barang secara dalam talian, barang lain yang sampai, beliau (Hasni) tetap menjadi kebanggaan rakyat Johor,'' tegas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sebaik kata-kata itu diungkapkan, tepukan gemuruh pemimpin dan perwakilan memenuhi Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) sempena ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021, hari ini.

image is not available
Ahmad Zahid bersama Hasni ketika Barisan Nasional (BN) menang PRN Johor, 12 Mac lalu. - Gambar fail

Kenyataan Ahmad Zahid merujuk kepada situasi dihadapi Datuk Seri Hasni Mohammad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut apabila tidak dilantik sebagai Menteri Besar Johor selepas UMNO memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, baru-baru ini.

Ia turut menjadi isu panas dalam kalangan parti politik dan rakyat, memandangkan kepimpinan UMNO sejak awal kempen, memaklumkan bahawa Hasni adalah pilihan tunggal untuk jawatan itu.

Tepukan gemuruh itu juga sebagai penghargaan terhadap Hasni ekoran kejayaan UMNO Johor menakluk semula negeri berkenaan pada pilihan raya terbabit, baru-baru ini.

“Kita (UMNO) menzahirkan terima kasih kepada Hasni atas ketokohan beliau dalam menerajui parti keramat itu, sehingga mendapat mandat rakyat.

“Kita juga mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar Johor ke-19, Datuk Onn Hafiz Ghazi,” katanya.

PRN Johor yang diadakan pada 12 Mac lalu, menyaksikan BN memenangi 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan, manakala PKR (11), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA). – Getaran, 18 Mac 2022