
Rasanya, ramai diantara korang yang pernah baca kisah mengenai penyewa dari neraka. Buat yang tak tahu, term penyewa dari neraka ni selalunya digunakan bagi mereka yang menyewa rumah tapi tidak menjaga rumah sewa itu dengan baik. Ada yang lari tinggalkan penuh sampah lah, najis kucing la… Tu belum disentuh bab bayaran sewa lagi…
Rupanya, bukan Malaysia je tau ada isu penyewa dari neraka ni, negara maju macam United Kingdom pun wujud jugak orang macam ni.
Dengan menggunakan alasan pandemik COVID-19, Phil Tewkesley, 47, gagal melawat rumah miliknya sendiri selepas dihalang penyewanya. Meskipun sudah diberikan notis awal sejak tahun 2020 lagi, penyewa berkenaan masih belum keluar dari rumah itu sehinggalah tahun berikutnya, lapor Metro.

Bagaimanapun, selepas diberitahu jiran bahawa penyewanya sudah berpindah, Tewkesley akhirnya dapat memasuki rumah miliknya sendiri pada akhir Disember tahun lalu. Walau bagaimanapun, lelaki terbabit terkedu selepas mendapati keadaan rumahnya yang dapat diibaratkan sebagai pusat pelupusan sampah.
“Macam-macam sampah mereka tinggalkan termasuklah makanan basi. Itu belum dikira barangan peribadi yang sengaja ditinggalkan dan beberapa ujian kit kendiri COVID-19 yang telah digunakan ditemui bertaburan di sekitar rumah,” katanya.
Jelas Tewkesley, jiran ada memberitahunya bahawa penyewa berkenaan yang tinggal di rumah itu bersama isteri dan seorang anak perempuan sering menerima bungkusan setiap hari. Namun, mereka dilihat tak pernah buang apa-apa sampah sepanjang menyewa di situ.
Tinggalkan haiwan peliharaan ‘rare’ sekali

Kata Tewkesley, timbunan sampah bukanlah perkara paling mengejutkan penyewa dari neraka berkenaan tinggalkan di dalam rumah berkenaan sebab keluarga itu juga ada tinggalkan seekor ular sawa dalam akuarium, ikan, labah-labah dan kala jengking.
“Saya ingat ia akuarium kosong yang kotor tapi bila tengok dekat-dekat, saya perasan ada ular sawa di dalamnya. Ada dua bangkai ular lain bersama ular sawa terbabit. Saya sangat terkejut dan berlari keluar rumah,” katanya.
Sumber turut melaporkan, penyewa berkenaan sudah enam bulan tidak membayar sewa rumah kepada Tewkesley.

Difahamkan, Tewkesley dan pasangannya mengambil masa kira-kira 54 jam bagi membersihkan kediaman mereka. Kata Tewkesley, dia dan pasangannya beberapa kali terpaksa keluar rumah untuk menghirup udara segar semasa mengemas kerana rumah berkenaan berbau terlalu hancing.
“Saya perlu keluarkan wang sekitar RM6,562 hanya untuk keluarkan semua barang milik penyewa dan barangan lain yang rosak teruk. Saya rasa saya perlu keluarkan puluhan ribu lagi untuk kembalikan rumah ni kepada keadaan asalnya.”
Sumber: Metro

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

