Tanah Runtuh Di Ampang: Kesemua Lima Mangsa Telah Ditemui, Empat Meninggal Dunia

11 Mar 2022 • 10:17 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Petang semalam telah berlakunya kejadian tanah runtuh di sekitar Jalan Teratai 1/2J, Taman Bukit Permai, Ampang, Selangor yang mengorbankan empat nyawa manakala seorang mangsa berjaya diselamatkan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) menerima panggilan kecemasan itu kira-kira jam 5:54 petang dan segera memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang melibatkan 15 buah rumah terjejas dengan dua daripadanya tertimbus.

Manakala menurut mStar, difahamkan 10 buah kenderaan turut mengalami kerosakan kerana berada berhampiran dengan kawasan kejadian tanah runtuh tersebut.

6:54 petang – Mangsa pertama berjaya diselamatkan

Mangsa pertama berjaya diselamatkan selepas dikeluarkan lewat petang semalam sebelum sekali lagi dilanda tanah runtuh semasa misi menyelamat sedang dijalankan namun diteruskan sebaik saja keadaan semakin reda.

image is not available

9:10 malam – Mayat mangsa kedua ditemui

Lapor Sinar Harian, pada sekitar jam 9:10 malam, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak mengesahkan bahawa mangsa kedua tanah runtuh yang juga warga emas berusia 85 tahun telah meninggal dunia selepas ditemui pada jam 7:54 petang.

image is not available

“Mangsa ditemui berada di dalam rumahnya yang terletak di sebelah lokasi tanah runtuh dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan penyelamat” – Ketua Polis Daerah Ampang Jaya

10:58 malam – Mayat mangsa ketiga dikeluarkan

Tambah Mohamad Farouk, mayat mangsa ketiga pula telah dikeluarkan pada jam 10: 58 malam dan dipercayai ketika itu mangsa berada diluar rumah pertama yang musnah sepenuhnya akibat tanah runtuh sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

image is not available

Tengah malam – Mayat mangsa keempat dan kelima ditemui

Operasi SAR ditamatkan kira-kira jam 2 pagi tadi selepas mayat mangsa keempat yang merupakan seorang lelaki berbangsa India berusia 37 tahun telah dikeluarkan pada pukul 12:46 tengah malam.

Manakala, mayat mangsa kelima yang juga lelaki dipercayai pekerja Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) pula ditemui pada jam 1:59 pagi.

image is not available

Walaupun operasi telah ditamatkan, menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis, pihaknya akan menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) untuk memastikan tiada mangsa lain yang masih terlibat.

Min doakan semoga keluarga mangsa terus dikuatkan semangat dan diberi ketabahan ya…

image is not available

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.