Gaji Minimum RM1,500 Diluluskan Mulai 1 Mei - PM

19 Mar 2022 • 6:18 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Pelaksanaan kadar gaji minimum baharu sebanyak M1,500 sebulan akan berkuatkuasa mulai 1 Mei ini. - Gambar fail

KUALA LUMPUR - Kerajaan meluluskan pelaksanaan gaji minimum sebanyak RM1,500 dan pembayaran kadar itu bermula 1 Mei ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kelulusan itu ditetapkan untuk syarikat besar, termasuk syarikat organisasi kerajaan (GLC).

“Bagaimanapun syarikat kecil, syarikat mikro, syarikat jumlah pekerja kurang, pendapatan kurang dan koperasi kecil, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan akan berbincang dengan Tan Sri Noh Omar (Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi) mengenai bayaran (gaji minimum) RM1,500 untuk tangguh pelaksanaan kepada syarikat kecil.

“Kita faham gerai dan warung di kampung jumlah pekerja adalah kurang, wajar kita tidak paksa gaji minimum kepada mereka untuk ambil pekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

image is not available

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kelewatan kerajaan mengumumkan pengeluaran khas caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 adalah bagi membolehkan perkara terbabit diumum pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021.

“Ramai tanya kenapa lewat, sebelum hari penamaan calon, saya bincang dengan Presiden bahawa saya akan umum KWSP, pengeluaran caruman RM10,000 ini, kita nak umum di Johor.

“Tiba-tiba semua orang mahu jadi hero, termasuk ketua pembangkang dan DAP. Saya kata kalau diumum selepas mereka cakap, mesti mereka ‘claim’ kredit, jadi bagi saya tarikh sesuai adalah ketika PAU kerana biar rakyat faham perjuangan UMNO lah mereka dapat RM10,000,” katanya. - Getaran, 19 Mac 2022