Siri Komputer Riba ASUS BR1100 Untuk Kanak-Kanak Kini Ditawarkan Di Pasaran Tempatan Pada Harga Permulaan RM1499

TechnologyDigital
14 Mar 2022 • 2:41 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

image is not available

Jika anda mempunyai seorang kanak-kanak yang memerlukan sebuah komputer riba untuk tujuan pembelajaran dari rumah dan juga untuk memudahkan pengajian mereka, ASUS Malaysia hari ini telah mula membawa masuk komputer riba khusus untum tujuan tersebut, iaitu siri komputer riba ASUS BR1100.

image is not available

Siri komputer riba ini terdiri daripada model ASUS BR1100C iaitu komputer riba dengan rekaan tradisional dan ASUS BR1100F, iaitu komputer riba yang boleh dilipat bahagian paparannya untuk digunakan sebagai sebuah tablet.

image is not available

Dari segi spesifikasi, kedua-dua model komputer riba ini hadir dengan paparan panel TN bersaiz 11.6 inci dengan resolusi 1366×768 dimana model BR1100F hadir dengan fungsi sesentuh. Kedua-dua komputer riba ini dikuasakan oleh CPU Intel Celeron N4500, memori DDR4 sebanyak 4GB dan menggunakan storan eMMC dengan jumlah storan 128GB.

Jika jumlah storan ini tidak mencukupi, ia juga hadir dengan slot pengembangan storan dimana anda boleh memuatkan sebuah storan SSD M.2 didalamnya.

Dari segi pilihan I/O, ASUS BR1100 ini dilengkapi dengan satu palam USB 2.0 Type-A, satu palam USB 3.2 Type-A, satu palam USB 3.2 Type-C, satu palam HDMI 1.4 dan satu palam RJ45 untuk sambungan internet berwayar.

image is not available

Bukan itu sahaja, komputer riba ini turut hadir dengan sambungan internet nirwayar WiFi6 dan juga sokongan kad SIM yang membolehkan komputer riba ini menggunakan rangkaian 4G untuk disambungkan ke internet.

ASUS BR1100C dan ASUS BR1100F kini ditawarkan di pasaran tempatan pada harga RM1499 dan juga RM1699.