Kemalangan dedah aktiviti curi kereta

19 Mar 2022 • 3:46 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Tuaran: Gambar yang tular di laman sosial berhubung tindakan dua lelaki dan seorang wanita melarikan diri selepas merempuh sebuah kenderaan di Jalan Timbok – Tambalang di sini, Rabu lalu, akhirnya terjawab apabila kereta Perodua Viva digunakan suspek didapati kenderaan curi.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6.50 pagi itu, kereta dinaiki semua suspek berusia 20 hingga 25 tahun itu hilang kawalan lalu merempuh belakang sebuah kereta Toyota Avanza yang diletakkan di bahu jalan kiri.

“Mangsa berusia 26 tahun, yang juga pemandu kereta Avanza tersebut, dilaporkan sedang memulakan perniagaan kuih di tepi jalan untuk dijual dan bernasib baik tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Akibat rempuhan itu, kereta Perodua Viva itu terbabas dan terbalik manakala pemandunya mengalami luka di kaki kiri sebelum berlari meninggalkan lokasi dengan dua penumpangnya,” katanya.

Menurut Mohd Hamizi, mangsa membuat laporan polis pada hari sama dan siasatan lanjut mendapati kenderaan digunakan suspek adalah kereta yang dilaporkan hilang di Inanam pada 15 Mac lalu.

Mengikut semakan rekod, kesemua suspek disabitkan tiga jenayah lampau di Kota Kinabalu dan Tuaran mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan dua lagi di bawah Seksyen 5 (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis menyerbu sebuah rumah penginapan di Gayang dan menahan ketiga-tiga suspek terbabit.

“Dengan penahanan ketiga-tiga suspek ini, empat kes curi kenderaan di daerah Tuaran dalam tempoh Januari sehingga Mac ini berjaya diselesaikan,” katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.