
Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 28 tahun diperintah untuk membela diri pada 25 dan 26 Apr tahun ini atas pertuduhan merogol seorang gadis bawah umur.
Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus membuat perintah itu terhadap Shahreyan Shah Lagayu selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadap Shahreyan pada Isnin.
Shahreyan dituduh merogol remaja perempuan berusia 16 tahun itu di dalam sebuah kereta di Kompleks Sukan Likas, di sini, antara pukul 10 malam dan 11.59 malam 10 Nov 2019.
Kesalahan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan telah memanggil lapan saksi semasa perbicaraan.
Sementara itu, seorang lelaki berusia 25 tahun yang mengambil syabu secara berulang iaitu sebanyak tiga kali, dipenjara lima tahun dan dikenakan satu sebatan.
Azahir Jamlu mengaku bersalah atas pertuduhan terhadapnya.
Dia mengambil dadah itu pada pukul 9.30 pagi 28 Mei 2021 selepas air kencingnya didapati positif dadah di Balai Polis Kota Belud.
Azahir mempunyai dua sabitan lampau kerana mengambil dadah.
Dia didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39C (1) (a) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima dan tujuh tahun, serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Semasa rayuan, Azahir meminta hukuman ringan dan hukuman dijalankan dari tarikh dia ditangkap.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana tertuduh telah mengulangi kesalahan yang sama.
Mahkamah memerintah supaya Azahir menjalani hukuman penjara itu dari tarikh dia ditangkap dan selepas hukuman itu tamat, diletakkan di bawah pengawasan polis selama tiga tahun.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

