Sze Fei-Nur Izzuddin Kempunan Raih Gelaran Kedua Di Basel

28 Mar 2022 • 8:18 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani - Gambar fail

KUALA LUMPUR - Hasrat pasangan beregu lelaki negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani untuk merangkul gelaran kedua musim ini tidak kesampaian apabila tewas di pentas final Kejohanan Badminton Terbuka Switzerland di Basel, malam tadi.

Selepas cemerlang menjuarai Terbuka Jerman dua minggu lepas, impian gandingan ranking ke-18 dunia itu disekat beregu Indonesia Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dengan kemenangan 21-18, 21-19 dalam tempoh 40 minit di St Jakobshalle.

Pada set pertama, aksi bertenaga ditampilkan Sze Fei-Nur Izzuddin menyaksikan mereka berjaya memberikan saingan sengit sehingga kedudukan terikat 14-14, namun pengalaman menjadi pemisah apabila gandingan Indonesia itu mula mengungguli permainan untuk mencatat kemenangan 21-18.

Kekalahan itu sedikit merencatkan rentak pasangan negara yang memulakan set kedua dengan perlahan apabila ketinggalan 3-8 sebelum berjaya bangkit mengikat kedudukan 10-10.

Tetapi ia belum cukup untuk mengekang penguasaan pilihan keempat kejohanan itu yang memuktamadkan kejayaan dengan 21-19.

Menerima nasib sama di pentas final adalah beregu campuran profesional negara Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai yang ditewaskan pasangan Jerman Mark Lamsfuss-Isabel Lohau 21-12, 18-21, 17-21 dalam pertarungan selama 65 minit. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved