Sindiket Pengedaran Dadah Hotel Bajet Tumpas, 6 Individu Tumpas

18 Apr 2022 • 1:21 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Jasmirol (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas dalam Op Gaston, yang diadakan di sekitar Lembah Klang pada 14 dan 15 April lalu.

KUALA LUMPUR - Satu sindiket pengedaran dadah yang menyasarkan pelanggan di hotel bajet dan pusat hiburan akhirnya tumpas selepas enam individu termasuk dalangnya ditahan dalam Op Gaston, minggu lalu.

Penahanan tersebut membabitkan lima lelaki dan seorang wanita berusia antara 20 hingga 45 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner (ACP) Jasmirol Jamaluddin berkata, operasi dua hari bermula 14 hingga 15 April itu melibatkan serbuan ke atas dua unit kondominium, dua pangsapuri dan sebuah rumah di lima lokasi sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

“Dalam kelima-lima serbuan tersebut pelbagai dadah jenis syabu (3.2 kg), heroin (8.4 kg), ganja (10.8 kg), Eramin 5 (3,150 biji) dan ketamin (365 gram) dirampas.

“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM386,757 berdasarkan harga semasa pasaran dan polis turut menyita wang tunai berjumlah RM2,780 daripada suspek,” katanya pada sidang media, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) hari ini.

image is not available
Jasmirol menunjukkan dadah yang dirampas dalam Op Gaston, minggu lalu.

Jasmirol berkata, siasatan awal mendapati sindiket mendapatkan bekalan dadah di sekitar Lembah Klang dan mengedarkannya kepada pelanggan tetap mereka.

“Berdasarkan paket ditemui, kita percaya mereka menjual dadah tersebut di premis seperti hotel dan pusat hiburan di sekitar ibu negara,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek direman selama tujuh hari bermula 15 hingga 21 April bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Pemeriksaan lanjut mendapati tiga daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau manakala selebihnya tidak memiliki sebarang rekod,” katanya. - Getaran, 18 April 2022