
KUALA LUMPUR: Seorang wanita antara enam individu ditahan polis kerana disyaki terlibat dengan sindiket pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang menerusi Op Gaston pada Khamis dan Jumaat lepas, yang melibatkan rampasan pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM386,757.
Kesemua suspek berumur lingkungan 20 hingga 45 tahun itu, ditahan dalam beberapa serbuan berasingan di kondominium dan pangsapuri di Jalan Putramas dan Jalan Cendana di sini, dan Taman Petaling Utama serta Taman Petaling, Petaling Jaya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur ACP Jasmirol Jamaluddin(gambar) berkata pihaknya melakukan serbuan berkenaan kira-kira 9 malam Khamis hingga 5.10 pagi Jumaat.
Beliau berkata antara dadah yang dirampas ialah syabu seberat 3.2 kilogram (kg) bernilai RM121,510 dan heroin seberat 8.4 kg bernilai RM116,722.
“Selain itu, ganja bernilai RM27,400 seberat 10.8 kg, pil Erimin 5 (3,150 biji) seberat 0.9 kg bernilai RM66,300 serta ketamin seberat 365 gram bernilai RM54,825 turut dirampas,” katanya dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Jasmirol berkata polis turut menyita sejumlah wang tunai berjumlah RM2,780.
“Modus operandi yang digunakan kumpulan yang aktif sejak tiga bulan lepas ini ialah seorang suspek bertindak sebagai dalang akan mengambil bekalan di Kuala Lumpur dan mengedarkannya secara kecil-kecilan bersama ahli sindiket di sekitar ibu kota dan Selangor, mengikut permintaan penagih,“ katanya.
Beliau berkata tiga daripada suspek mempunyai rekod lampau berkait jenayah dan dadah serta ujian saringan air kencing mendapati empat suspek positif dadah jenis syabu, ganja dan methamphetamine.
Jasmirol berkata keseluruhan rampasan berkenaan mampu menampung kegunaan 48,594 penagih.
Menurutnya, suspek direman selama tujuh hari hingga 21 April ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Najib kemudian memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.-Bernama
