Bantu Gelandangan Secara Holistik, Inisiatif Sifar Gelandangan Dilancar

18 Apr 2022 • 8:49 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Saravanan berucap di majlis menandatangani MoU di antara My Qaseh Sdn Bhd dan PERKESO hari ini. - Gambar oleh Sairien Nafis

KUALA LUMPUR - Sebuah program khas dikenali sebagai Inisiatif Sifar Gelandangan yang dilancarkan hari ini  dilihat mampu membantu golongan gelandangan  secara holistik.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, program berkenaan membabitkan kerjasama My Qaseh Sdn Bhd dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Menurut beliau, ia adalah kesinambungan daripada kejayaan pelaksanaan program Penjana Kerjaya yang telah membantu lebih 221,966 individu mendapatkan pekerjaan tahun lalu.

“Beberapa langkah efektif akan diambil bagi pelaksanaan inisiatif ini iaitu mengenal pasti golongan gelandangan, penyediaan pemeriksaan kesihatan, perumahan sementara, latihan dan penempatan pekerjaan.

“Golongan terbabit juga akan dipantau dari semasa ke semasa agar kehidupan mereka dapat diselaraskan dengan baik serta lebih terjamin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU), My Qaseh Sdn Bhd dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di sini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif My Qaseh Sdn Bhd, Trina Thomas Raj; Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed; Pengarah My Qaseh, Zainal Baharuddin.

Saravanan berkata, gelandangan wujud apabila sebahagian daripada mereka berhijrah dari kampung ke bandar, tetapi gagal mendapatkan pekerjaan.

“Pada penghujung tahun lalu, PERKESO telah bekerjasama dengan Yayasan Kebajikan Negara Zon Selatan untuk menyantuni 50 gelandangan.

“Sesi pemprofilan ini berjaya mengenal pasti keperluan golongan tersebut, khususnya yang melibatkan aspek pekerjaan seperti maklumat jenis kerjaya diperlukan dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya, setakat ini seramai 100 gelandangan diterima bekerja dalam pelbagai sektor di seluruh negara menerusi inisiatif tersebut.

Beliau berkata, banyak organisasi di seluruh dunia turut bergiat secara aktif untuk turun padang dan membantu menyalurkan bantuan kepada golongan terbabit.

Mengulas lanjut, Saravanan berkata, kerjasama ini turut menyaksikan Perkeso dan My Qaseh menumpukan usaha bagi mendapatkan tawaran pekerjaan kepada gelandangan menerusi Program Penempatan Pekerjaan PERKESO.

Katanya, peluang dan proses padanan kerjaya akan dilaksana dan disalurkan melalui Portal Pekerjaan Negara, MYFutureJobs di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM).

“Selain itu, PERKESO turut menganjurkan Program Kebolehpasaran kepada golongan sasaran ini, merangkumi aktiviti seperti ceramah kebolehpasaran, bengkel hala tuju kerjaya, sesi temu duga dan bantuan penyediaan resume.

“Golongan ini perlu segera dibantu dengan apa jua cara agar mereka dapat keluar dari kepompong kemiskinan,” katanya. - Getaran, 18 April 2022.