Puasa Dan Kecergasan: 5 Cara Bersenam Semasa Ramadan

Health & Fitness
24 Apr 2022 • 1:42 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Nawal Alhaddad, Jurulatih Muslimah Gambar: Muslim Pro

Ramadan bukan sahaja bulan paling suci dalam kalendar Islam, tetapi ia juga merupakan bulan untuk kita berpuasa, bermuhasabah diri dan memperbaiki diri.

Sepanjang tempoh Ramadan, umat Islam menahan diri dari lapar dan dahaga bermula dari terbitnya matahari di waktu subuh sehinggalah tergelincirnya matahari pada waktu maghrib.

Berbuka puasa bersama keluarga, sahabat handai dan orang-orang tersayang merupakan nikmat yang tidak terhingga. 

Dewasa ini, aktiviti berbuka puasa tidak lengkap tanpa hidangan istimewa, membeli aneka juadah di bazar Ramadan ataupun bufet di hotel sudah menjadi kebiasaan ramai antara kita. 

Tentu sahaja, peralihan drastik daripada rutin makanan normal dari waktu siang ke waktu malam ini bakal mempengaruhi berat badan anda.

Menguruskan aktiviti fizikal dan melakukan senaman sepanjang bulan Ramadan ini bukanlah suatu perkara yang mudah.

Namun, dengan langkah-langkah yang betul, ia tidak mustahil untuk memasukkan aktiviti senaman ke dalam jadual anda.

Oleh itu, kami berbual dengan jurulatih kecergasan Muslimah, Nawal Alhaddad tentang lima cara melakukan aktiviti senaman semasa bulan Ramadan, seperti di bawah:

image is not available

#1 Mulakan dengan perlahan dan tenang

Matlamat senaman yang biasa kita dengar ialah untuk melakukan senaman dengan lebih gigih dan mengerah tenaga ke tahap luar biasa.

Walaupun badan anda sebenarnya mampu mengekalkan aktiviti senaman seperti biasa, tetapi pada bulan Ramadan ini, anda harus mengurangkan intensiti senaman demi kesejahteraan tubuh.

Lakukan senaman ringan semasa minggu pertama dan kedua untuk membolehkan badan anda beradaptasi dengan rutin puasa.

Ini boleh dilakukan dengan pengurangan jumlah hari bersenam, mengurangkan berat pada pemberat atau masa senaman yang lebih pendek.

image is not available

#2 Pilih masa anda 

Pada bulan Ramadan, masa senaman anda mungkin memerlukan beberapa pengubahsuaian. 

Nawal mencadangkan masa terbaik untuk bersenam pada bulan ini ialah pada waktu petang, kira-kira satu jam sebelum berbuka puasa.

Jika anda tidak mampu bersenam dengan perut kosong, pertimbangkan masa untuk bersenam pada waktu malam. 

Alternatif lain, bersenamlah pada waktu pagi sebelum atau selepas waktu sahur.
 

image is not available

#3 Diet yang sihat

Amatlah penting untuk mengamalkan kesederhanaan, di samping memastikan badan anda mendapat nutrisi-nutrisi penting yang diperlukan.

Anda harus mengutamakan makanan yang kaya dengan protein untuk membantu tubuh anda pulih daripada melakukan aktiviti fizikal dan senaman itu tadi.

Selain ayam dan daging lembu, sumber protein yang boleh anda dapatkan adalah seperti ikan tuna, salmon serta sayur-sayuran seperti kacang hitam, kubis bunga, bayam dan soya.

Elakkan makanan berminyak untuk mengelakkan rasa lesu ketika berpuasa. Sebaliknya, makanlah buah-buahan yang kaya dengan serat bagi memastikan anda kenyang dan bertenaga.
 

image is not available

#4 Cuba gaya senaman baharu

Bergantung pada tahap kecergasan anda, aktiviti fizikal dan senaman berintensiti tinggi tidak mungkin dapat dilakukan pada bulan puasa.

Ramadan memberi peluang yang ideal untuk anda bereksperimen dengan gaya senaman yang baharu. Walaupun dalam kadar lebih perlahan, sekurang-kurangnya otot anda masih bergerak.

Misalnya, melakukan yoga untuk meningkatkan kekuatan otot dalam masa sama anda akan berasa lebih tenang. 

Berbasikal dan berenang juga merupakan aktiviti senaman berimpak rendah yang boleh anda lakukan dalam kelajuan anda sendiri.

image is not available

#5 Fahami badan anda

Akhir sekali, badan anda sendiri yang akan memberitahu apa yang anda perlu lakukan. Apa yang anda perlukan ialah berhenti dan fahaminya.

Walaupun senaman membawa kepada kesihatan, tetapi amatlah penting untuk anda fahami badan anda memerlukan masa untuk beradaptasi dengan situasi baharu.

Jangan risau jika anda tidak berada di tahap kecergasan terbaik anda pada bulan Ramadan ini. Terdapat banyak lagi kaedah lain untuk kekal cergas seperti berjalan-jalan di tasik.

Apa yang penting, anda menghormati badan anda sepanjang bulan suci ini. Anda juga boleh melihat siri senaman mesra Ramadan di aplikasi Muslim Pro! – Getaran, 24 April 2022

image is not available

Gambar: Syeda Imran