
PASIR GUDANG - Tiga termasuk seorang remaja berusia 16 tahun maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan empat motosikal di Jalan Tembikai Utama, Taman Kota Masai di sini pada malam Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira pada jam 10.30 malam, kesemua mangsa masing-masing menunggang motosikal bertembung antara satu sama lain sehingga mengakibatkan cedera parah.
Seorang saksi yang juga rakan mangsa hanya mahu dikenali sebagai Apit, 16, berkata, kemalangan berlaku membabitkan dua kumpulan penunggang motosikal.
"Motosikal mereka kemudian bertembung sesama sendiri dari arah bertentangan. Semasa kejadian banyak motosikal yang terlibat tetapi mereka semua melarikan diri selepas kemalangan tersebut.
"Saya lihat tiga mangsa nazak di tempat kejadian termasuk rakan saya manakala seorang lagi dikatakan kritikal," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian pada Jumaat.
Tinjauan Sinar Harian di lokasi kemalangan mendapati, darah dan cebisan daging mangsa bertebaran di tepi jalan tersebut sebelum dibersihkan penduduk setempat.
Sementara itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam akan mengeluarkan kenyataan pada Sabtu.
