PLUS Jangka Peningkatan Aliran Trafik 25 Peratus

14 Apr 2022 • 9:19 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Sejumlah 2 juta kenderaan sehari dijangka menggunakan semua lebuh raya menjelang Aidilfitri, berbanding 1.6 juta sehari ketika ini. - Gambar fail

KUALA LUMPUR - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan peningkatan aliran trafik sebanyak 25 peratus menjelang Aidilfitri.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, sejumlah 2 juta kenderaan sehari dijangka menggunakan semua lebuh raya, berbanding 1.6 juta sehari ketika ini.

Menurut beliau, peningkatan tersebut diramalkan berlaku pada waktu puncak, bermula 29 April hingga 9 Mei depan.

“Pihak PLUS menyarankan orang ramai supaya membuat perancangan untuk pulang ke kampung lebih awal bagi mengelakkan mereka terperangkap dalam kesesakan trafik, khususnya pada hari puncak, termasuk hari-hari terakhir Ramadan,” katanya hari ini.

Azman berkata, PLUS akan mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) dalam tempoh terdekat bagi membantu orang ramai merancang perjalanan masing-masing pada musim perayaan.

“Pasukan Operasi lebuh raya kami juga telah bersiap-siaga dan bersedia membantu orang ramai untuk pulang ke kampung pada Aidilfitri yang amat dinanti-nantikan tahun ini. 

“Ia melibatkan pendekatan holistik yang merangkumi pelbagai aspek termasuklah adaptasi teknologi untuk meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan orang ramai,” katanya.

Pelan persediaan operasi lebuh raya tersebut katanya, akan diumumkan dalam masa terdekat. - Getaran, 14 April 2022.