
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Sebelum Covid-19 melanda dunia dan menyebabkan kita tidak dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri selama dua (2) tahun berturut-turut iaitu pada 2020 dan 2021, sambutan hari raya tetap tidak dapat menandingi sambutan hari raya pada tahun 80an dan 90an bagi sebahagian Generasi X kerana kami semua masih bersekolah ketika itu dan hanya fokus kepada belajar, masih tidak terkait dengan urusan orang dewasa seperti kerja, hutang-piutang dan sebagainya.
Jadi apa yang menyebabkan kebanyakan Generasi X merindui sambutan Hari Raya Aidilfitri pada zaman 80an dan 90an?
1. Beraya sakan dengan sanak saudara dan rakan-rakan
Kalau hendak diimbas kembali kenangan berhari raya 25 – 35 tahun dahulu, antara perkara yang paling menggembirakan adalah berhari raya dari rumah ke rumah walaupun orang yang kita tidak kenal tanpa pengawasan orang dewasa kerana pada zaman tersebut samada kami tidak cakna atau memang kurang keadaan berbahaya di zaman tersebut.
Seronok ye berjalan beramai-ramai dari satu rumah ke satu rumah walaupun kadang-kadang rumah yang kita pergi itu kita tidak kenal pun tuan rumahnya. Tuan rumah pula berbesar hati menerima kedatangan segerombolan kanak-kanak riang yang datang. Kebiasaannya kami dihidangkan dengan air sirap. Yang paling seronok sudah tentu mendapat duit raya 20 sen – 50 sen. Kalau dapat RM1 pada ketika tersebut memang gembira habis.
Sekarang kita tidak boleh buat lagi begini terutamanya di kawasan bandar kerana keadaan tidak selamat untuk membenarkan anak-anak berjalan tanpa ditemani orang dewasa.
2. Kebanyakan kuih raya semuanya sedap-sedap
Walaupun spesies kuih raya pada 1980an dan 1990an tidak banyak seperti sekarang, tetapi kebiasaannya kebanyakan kuih raya yang dihidangkan memang sedap dan mempunyai rasa yang tersendiri sebab dibuat dengan penuh kasih sayang.
Kuih raya pada zaman sekarang kadang kala mempunyai rasa yang lebih kurang sama walaupun hadir dalam bentuk yang berbeza, jenis yang berbeza dan mempunyai nama-nama yang hipster dan gah.
Kalau terjumpa kuih raya yang sedap pada masa sekarang ini adalah merupakan satu kebahagiaan. Kebahagiaan itu sederhana bukan?
3. Main bunga api dan mercun
Den tidak pasti berapa ramai orang yang pernah merasa pengalaman menyusun pelita di sekeliling rumah dan bermain bunga api dan mercun bersungguh-sungguh tetapi ini adalah antara pengalaman yang memang sangat manis.
Pada zaman 90an tiada sekatan atau larangan terhadap penjualan dan bermain bunga api dan mercun, jadinya memang heaven ye main bersama sanak saudara dan kawan-kawan.
Bermain bunga api dan mercun sememangnya antara perkara indah yang den lalui walaupun masih kekal parut di tangan dan belakang den akibat penangan bunga api pada tahun 1984.
Ada banyak lagi perkara yang membuatkan sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun 80an dan 90an begitu istimewa di hati kebanyakan Generasi X.
Ada Generasi X di sini yang hendak kongsikan perkara yang membahagiakan di hari raya pada zaman 80an dan 90an?
#DidYouKnow / #TahukahAnda / #你知道吗
Bidasari Bahashim adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!
*Newswav adalah platform pengagregatan dan semata-matanya mengehoskan kandungan. Pandangan yang dinyatakan dan kandungan di atas termasuk media (gambar, video, dan lain-lain) adalah dimuatnaik oleh pengarang. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.