Padah guna kad pengenalan palsu, milik orang lain

8 Apr 2022 • 8:55 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

SHAH ALAM - Gara-gara menggunakan kad pengenalan palsu dan milik orang lain, lapan pengawal keselamatan warga Filipina masing-masing dijatuhi hukuman penjara antara empat hingga 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Kesemua tertuduh Adzhar Tadjamon, 30; Alim Aunal, 22; Jasim Alano, 27; Asmie Rody, 36; Halid Janul Sallani, 34; Abu Bakar Mausil, 48; Imboy L Insung, 26, dan Abdul Munir Asnan, 30, masing-masing mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di tiga Mahkamah Majistret berasingan.

Majistret Sabreena Bakar@Bahari memerintahkan Adzhar, Alim dan Jasim masing-masing dipenjara empat bulan manakala Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan masing-masing terhadap Asmie, Halid dan Abu Bakar.

Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman pula memerintahkan Imboy dan Abdul Munir masing-masing dipenjara 12 bulan.

Kesemua tertuduh diperintahkan menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap iaitu semalam.

Bagi kedua-dua kesalahan tersebut, mereka didakwa mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara Zulkarnain Ahmad da Zulkifli Idris manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.- Bernama