Peniaga diingat terus patuh SOP

10 Apr 2022 • 11:05 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

SEREMBAN - Meskipun negara sudah memasuki fasa peralihan endemik, namun peniaga di Bazar Ramadan diingatkan untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Setiausaha Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Mas Midyawan Yahya berkata, walaupun SOP tidak seketat dahulu, namun pemantauan akan terus dilakukan dari semasa ke semasa.

"Penganjur bazar perlu jadi barisan hadapan kepada usaha memutuskan rantaian Covid-19 dengan memastikan aspek penjarakan khemah, laluan keluar masuk ikut SOP disediakan serta asas utama memakai pelitup muka dan mengimbas QR Code MySejahtera.

"Berdasarkan pemantauan dibuat oleh penguatkuasa dalam tempoh beberapa hari Ramadan ini, didapati peniaga terus mematuhi SOP dan sentiasa menjaga kebersihan," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Menurutnya, di bawah kawasan seliaan MBS, terdapat 50 Bazar Ramadan dan empat Bazar Aidilfitri.

Sementara itu katanya, berdasarkan pemerhatian, kehadiran pengunjung di semua Bazar Ramadan terutama di kawasan Senawang sangat menggalakkan.

"Dalam fasa peralihan endemik ini kita sangat berharap dapat membantu ekonomi peniaga yang terjejas teruk sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu,"katanya.