Rapat Saf, Umat Islam Perlu Patuh SOP - Idris

LocalPolitics
1 Apr 2022 • 2:40 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Jemaah di Masjid Negara, Kuala Lumpur, menunaikan solat Jumaat kembali merapatkan saf selepas kerajaan membenarkan berbuat demikian di seluruh negara bermula hari ini. - Gambar Razak Abdul Latif

PUTRAJAYA - Umat Islam di negara ini diingatkan agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 ketika menunaikan solat berjemaah tanpa penjarakan fizikal (rapat saf) di masjid dan surau.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata pematuhan SOP juga perlu dipraktikkan ketika menghadiri sebarang program keagamaan sepanjang Ramadan.

“Aspek pematuhan SOP perlu dikekalkan. Yang belum ambil vaksin atau dos penggalak, perlu segera berbuat demikian,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Sambutan Ihya’ Ramadan Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri pada 8 Mac lepas mengumumkan aktiviti solat berjemaah di masjid dan surau serta upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam, boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal bermula 1 April 2022.

Idris dalam pada itu menasihatkan ‘geng plastik hitam’ agar tidak mengulangi perbuatan sama untuk mengelakkan diri dari terus dibelenggu dosa kerana tidak berpuasa wajib ketika Ramadan. - Bernama