
Kota Kinabalu: Puasa individu yang berbuka puasa lebih awal kerana mengikut azan di radio adalah dikira batal dan wajib puasa itu diganti semula selepas Ramadan.
Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar, berkata waktu berbuka puasa adalah bersandarkan kepada terbenamnya matahari berdasarkan nas syarak dan bukannya bersandarkan kepada laungan azan di radio atau seumpamanya serta keadaan langit pada ketika itu.
“Usaha pihak radio menyiarkan azan sebagai tanda masuk waktu dan berbuka merupakan usaha murni yang sangat baik.
“Namun begitu, pihak radio perlu lebih teliti dan cermat dalam perkara ini bagi mengelakkan daripada berulang perbuatan mengumandangkan azan awal dari waktunya pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.
Beliau mengulas kesilapan seorang penyampai radio di sebuah stesen radio tempatan yang menyiarkan azan Maghrib empat minit lebih awal pada hari pertama Ramadan dan menyebabkan ada umat Islam yang berbuka puasa lebih awal dari waktu sepatutnya, Ahad lepas.
Sehubungan itu, Bungsu menasihatkan umat Islam supaya sentiasa cermat dan berhati-hati berkaitan waktu berbuka puasa.
Bungsu turut menyarankan kepada umat Islam agar merujuk kepada takwim berbuka puasa yang telah dikeluarkan oleh pihak berautoriti demi memastikan perkara seumpama ini tidak berlaku lagi pada masa akan datang,” katanya.
Seorang penyampai radio di Tawau, Mohd Safwan Junit, tampil memohon maaf menerusi laman Facebooknya kerana menyiarkan azan Maghrib pada jam 6.16 petang, empat minit lebih awal dari waktu sebenar pada 6.20 petang.
Dalam permohonan maaf itu, Safwan berkata perkara itu berlaku secara tidak sengaja dan disebabkan kesilapan teknikal.
“Saya, Mohd Safwan Junit, penyampai yang bertugas petang ini dalam Syoknya Hujung Minggu telah melakukan kesilapan teknikal yang mana azan Maghrib telah disiarkan dua kali, iaitu sekitar 6.16 petang dan yang kedua 6.20 petang.
“Azan yang sepatutnya disiarkan pada 6.20 petang telah dikumandangkan lebih awal dari waktunya menyebabkan ramai daripada warga Tawau secara tidak sengaja telah berbuka puasa awal dari waktu,” katanya.
Katanya lagi, hal ini disebabkan oleh kesilapan teknikal dan kesilapan dirinya sendiri sekali gus mendorongnya memohon maaf.
“Oleh itu, saya dengan rendah diri, secara peribadi, memohon maaf kepada warga Tawau yang terkesan dengan keadaan ini.
“Kesilapan ini datang dari diri saya sendiri dan bukan RTM Tawau atau Tawau FM. Yang baik datangnya dari Allah, yang kurang dari saya sendiri,” katanya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

