
Bazar Ramadan adalah salah satu tradisi yang sering dinanti-nantikan oleh ramai pihak tatkala bulan Ramadan. Malah, warganegara non-Muslim juga dilihat sangat suka mengunjungi bazar-bazar Ramadan yang menawarkan pelbagai juadah untuk berbuka puasa.
Apa yang menakutkan adalah terdapat terlalu banyak pilihan di Bazar Ramadan sehinggakan adakalanya anda mungkin boleh berbelanja lebih dari keperluan. Tabiat ini bukan sahaja merugikan, bahkan akan mengakibatkan berlakunya pembaziran makanan.
Sekiranya perkara ini sering terjadi kepada anda, jom ikuti 5 tips ketika di Bazar Ramadan seperti yang dikongsikan di bawah. Semoga pengisian kali ini bermanfaat!

1. Bawa wang yang cukup sahaja
Ini adalah salah satu tips yang terbukti berkesan. Tak perlu bawa wang yang banyak, sebaliknya bawalah wang yang cukup-cukup sahaja mengikut bajet yang telah anda tetapkan. Tetapi bajet anda pun haruslah berpada-pada dengan keperluan.
Sebagai contoh, jika anda mahu membeli juadah berbuka untuk 2 orang; cukuplah dengan membeli 2-3 menu makanan sahaja. Kemudian tetapkanlah bajet seperti RM30 sahaja untuk pembelian 2-3 menu ini.
Seterusnya, bawa RM30 dan berbelanja dengan wang tersebut untuk membeli juadah berbuka yang telah anda tetapkan. Dengan cara ini, pastinya anda akan lebih berhemat ketika berbelanja di Bazar Ramadan.
2. Beli 1 menu dari 1 gerai
Meskipun terdapat banyak gerai-gerai yang menjual pelbagai juadah untuk berbuka puasa, pastinya ada sebilangan gerai yang menjual menu yang sama. Contoh yang paling mudah ialah menu nasi ayam, mesti ada beberapa gerai yang menjual nasi ayam bukan?
Sekiranya anda mahu beli nasi ayam untuk 2 orang makan, anda bolehlah membeli dari gerai yang berlainan. Dengan cara ini, anda boleh mengenalpasti mana gerai nasi ayam yang terbaik.

3. Pilih menu makanan yang sihat
Antara makanan terbaik ketika berbuka adalah makanan yang boleh memberikan tenaga dengan cepat sejurus sahaja berbuka puasa.
Anda boleh memilih kuih-muih yang manis ataupun jus buah-buahan sebagai salah satu menu untuk berbuka. Menu seperti ini mempunyai glukosa yang tinggi yang boleh memberikan tenaga serta merta.
Namun begitu, anda harus berhati-hati dengan jumlah kandungan gula dan kalori yang diambil. Sebaiknya elakkan dari membeli makanan-makanan segera yang diproses.
4. Pilih gerai yang bersih
Makanan yang kotor boleh membahayakan kesihatan anda. Walaupun agak sukar untuk mengenalpasti tahap kebersihan sesuatu makanan tersebut, anda masih mempunyai pilihan untuk membeli menu juadah dari gerai-gerai yang diyakini bersih.
Caranya mudah sahaja, perhatikan tahap kebersihan penjual dan keadaan di sekitar gerai. Melalui sedikit permerhatian, sudah pasti anda boleh mengenali yang mana gerai yang bersih dan yang mana satu yang kotor.
5. Berjalan-jalan terlebih dahulu

Ambil peluang ini untuk berjalan secara perlahan-lahan hingga ke penghujung Bazar Ramadan sebelum membuat pembelian.
Amalan ini bukan sahaja boleh membakar sedikit kalori, malah mungkin boleh memudahkan anda untuk melihat dan memilih lebih banyak menu serta juadah untuk berbuka puasa.
Cover image credit MalayMail
Duan Deris adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!
*Newswav adalah platform pengagregatan dan semata-matanya mengehoskan kandungan. Pandangan yang dinyatakan dan kandungan di atas termasuk media (gambar, video, dan lain-lain) adalah dimuatnaik oleh pengarang. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.


