Kes Baharu COVID-19 Menurun, Kematian Pula Meningkat

8 Apr 2022 • 1:45 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Jumlah kumulatif individu dijangkiti virus COVID-19 setakat ini adalah 4,292,585 orang. - Gambar fail

KUALA LUMPUR - Sebanyak 11,994 kes baharu COVID-19 dilaporkan semalam yang menunjukkan sedikit penurunan berbanding 12,105 kes kelmarin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, angka baharu dicatatkan negara itu menjadikan jumlah kumulatif individu dijangkiti virus berkenaan setakat ini adalah 4,292,585 orang.

Menurutnya, jumlah baharu itu membabitkan 11,969 atau 96 peratus kes tempatan dengan bakinya 475 atau empat peratus adalah kes import.

“Lebih separuh atau 6,509 kes dengan 54.27 peratus daripada jumlah jangkitan semalam, membabitkan pesakit kategori 1, iaitu tidak bergejala, manakala 5,395 kes berada dalam kategori 2 atau bergejala ringan.

“Sebanyak 40 kes pula berada dalam kategori 3, manakala kategori 4 (22) dan kategori 5 (28),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, daripada 90 kes COVID-19 membabitkan kategori 3, 4 dan 5 dilaporkan semalam, 24 kes atau 26.67 peratus tidak divaksinasi atau belum lengkap mendapatkan suntikan tersebut.

Katanya, 30 kes atau 33.33 peratus sudah menerima dua dos vaksin COVID-19 tetapi belum menerima dos penggalak, manakala 36 kes (40 peratus) membabitkan individu selesai mendapatkan dos penggalak.

“Selain itu, 53 kes atau (58.89 peratus) adalah dalam kalangan individu berumur 60 tahun ke atas dan 58 kes atau (64.44 peratus) mempunyai komorbiditi serta satu kes (1.11 peratus) membabitkan ibu hamil,” katanya.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham memaklumkan, sebanyak 36 kes kematian baharu direkodkan semalam dengan sembilan kes kematian berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).

Jelasnya, angka baharu kematian itu menjadikan jumlah kumulatifnya mencecah 35,228 kes dengan 7,443 daripadanya adalah kes BID.

Kes kematian paling tinggi, katanya, dicatatkan di Selangor, disusuli masing-masing lima kes di Perak dan Sarawak.

Johor dan Pulau Pinang pula merekodkan empat kes di setiap negeri, Terengganu (2), Putrajaya (2), selain masing-masing satu kes di Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Sabah dan Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 157,571 kes aktif direkodkan semalam dengan 153,859 atau 97.6 peratus menjalani kuarantin di rumah, 341 dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC), manakala 3,174 dirawat di hospital.

Ujarnya, bagi kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) setakat ini, sebanyak 197 kes dilaporkan dengan 91 kes disahkan COVID-19, manakala 106 kes disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

“Kes memerlukan bantuan pernafasan adalah 108 kes, iaitu 50 kes disahkan COVID-19, manakala 58 kes disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan,” katanya.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, empat kluster baharu dilaporkan semalam dengan 151 kluster aktif dan secara keseluruhan, sebanyak 6,945 kluster direkodkan di negara ini sejak pandemik berkenaan dikesan.

“Sebanyak 16,603 kes sembuh direkodkan setakat semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih daripada virus tersebut adalah sebanyak 4,099,786 kes. - Getaran, 8 April 2022