
Kota Kinabalu: Jumlah jangkitan baharu Covid-19 di Sabah pada Khamis tidak banyak berubah berbanding angka Rabu lalu, kata Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.
Menurut beliau, Sabah mencatatkan kes baharu sebanyak 176, iaitu 12 kes lebih rendah berbanding hari sebelumnya.
“Pergerakan turun naik kes baharu di hampir semua daerah adalah pada jumlah yang kecil.
“Kecuali Tuaran, daerah-daerah yang berdekatan dengan ibu negeri mencatat pertambahan kes baharu yang marginal dengan Kota Kinabalu mencatat pertambahan 10 kes kepada 40, Penampang 27 (+4), Papar 13 (+4), Putatan 12 (+1) dan Tuaran 10 (-4),” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Sementara itu, lima daerah mencatat kes baharu dua angka dan 20 daerah merekodkan kes jangkitan baharu di antara 1 hingga 7 kes.
“Daripada 20 daerah tersebut, jumlah jangkitan baharu di 14 daerah adalah kurang daripada 5 kes. Tidak ada kes baharu di Kunak dan Kalabakan,” katanya.
Jumlah jangkitan baharu yang semakin rendah dan terkawal sedikit sebanyak disebabkan oleh peratusan jumlah penduduk yang telah melengkapkan pengambilan vaksin semakin tinggi.
“Walaupun jangkitan sporadik kekal tinggi, iaitu 67 pada Khamis, jumlah jangkitan harian semakin terkawal kerana keberkesanan perlindungan vaksin serta tahap pematuhan yang baik dalam kalangan masyarakat ke atas semua SOP,” tambahnya.
Sementara itu, 172 orang daripada 176 pesakit baharu pada Khamis adalah dalam Kategori 1 dan Kategori 2. Empat pesakit dalam Kategori 3.
“Tiada pesakit dalam Kategori 4 dan Kategori 5 pada Khamis,” kata Masidi.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
