Laut Bergelora Dipercayai Punca Bot Bawa 21 Individu Karam

15 Apr 2022 • 3:56 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Norrimi (tengah) menunjukkan lokasi pencarian dua lagi mangsa bot pam karam di perairan Pulau Timbun Mata, Semporna, Sabah. - Gambar ihsan APMM

SEMPORNA - Cuaca buruk dan laut bergelora dipercayai menjadi antara punca bot pam yang membawa 21 penumpang karam di perairan Pulau Timbun Mata di sini, semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, sebaik menerima aduan kecemasan, pihaknya menggerakkan aset ke lokasi kejadian bersama beberapa agensi penguat kuasa lain untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Ketika sampai, keadaan cuaca agak buruk dengan laut bergelora, dipercayai menjadi punca bot dinaiki mangsa melambung sebelum terbalik.

“Kejadian jam 8.30 malam itu menyebabkan lima daripada penumpang terbabit maut, manakala dua hilang,” katanya pada sidang media hari ini.

Norrimi berkata, ketika kejadian, semua penumpang yang dipercayai mempunyai ikatan kekeluargaan itu dalam perjalanan pulang dari Kampung Bakung Bakung ke Kampung Tandoan, Pulau Timbun Mata.

image is not available
Seorang anggota penyelamat meninjau kawasan kejadian mencari mangsa tragedi bot karam. - Gambar ihsan APMM

“Mangsa yang maut terdiri daripada dua wanita, iaitu Bunga Basah Nuhalan, 40-an, Anisa Harimalam, 20-an dan tiga kanak-kanak dikenali sebagai Syawal, 2, Iman, 2, dan Nurul Syafiqah, 4.

“Dua lagi mangsa, iaitu remaja perempuan Noranis Harimalam, 14, dan Aiman, 6, masih hilang,” katanya.

Tambah Norrimi, kawasan pencarian SAR kini meliputi 68 batu nautika dari lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah ketika dihubungi mengesahkan 14 daripada mangsa, termasuk juragan bot berumur 65 tahun diselamatkan penduduk kampung sebelum kehadiran pihak berkuasa.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Semporna untuk bedah siasat.

“Sehubungan itu, polis menahan juragan bot berkenaan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan, iaitu kerana menyebabkan kematian yang dipercayai akibat kecuaian,” katanya. - Getaran, 15 April 2022