Polis tahan juragan bot sebabkan lima penumpang lemas

15 Apr 2022 • 4:40 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

SEMPORNA- Polis hari ini menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 64 tahun yang merupakan juragan sebuah bot yang karam, menyebabkan lima penumpangnya lemas berdekatan perairan Kampung Tandoan, Pulau Timbun Mata di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Semporna Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata penahanan lelaki itu adalah bagi membantu siasatan kejadian itu, di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan iaitu kerana menyebabkan kematian dengan cuai.

"Pihak polis telah membuat tangkapan pada 12.50 tengah hari tadi dan beliau akan direman untuk siasatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Dalam kejadian itu, dua kanak-kanak masih hilang iaitu Noranis Harimalam, 14, dan Aiman, 7, manakala 14 penumpang berjaya diselamatkan orang ramai.

Sementara itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Semporna Komander Maritim Norrimi Hassan berkata lima mangsa yang meninggal dunia, dikenali sebagai Bunga Basah Nuhalan, 40; Anisa Harimalam, 20; Syawal, 2; Iman, 2; dan Nurul Syafiqah, 4 tahun.

Dalam pada itu, Norrimi berkata lebih kira-kira 60 anggota penyelamat terdiri daripada APMM, bomba serta Pasukan Polis Marin dan orang kampung, kini giat melakukan pencarian dua mangsa yang belum ditemui.

Menurutnya kejadian bot karam itu dipercayai berlaku akibat cuaca buruk serta keadaan ombak besar.- Bernama