
Kota Kinabalu: Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Sabah membentuk 28 biro untuk memberi perkhidmatan kepada kira-kira 300,000 ahlinya di samping membuat persiapan menghadapi pilihan raya umum Parlimen tahun ini.
Presiden STAR Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan berkata kalangan pengerusi biro yang dilantik tidak terhad hanya kepada Ahli Majlis Tertinggi (AMT), malahan turut melibatkan golongan profesional.
“Kalangan pengerusi akan melantik ahli-ahli jawatankuasa biro untuk memberi peranan kepada ahli-ahli parti untuk menyumbang pengetahuan, pengalaman dan kepakaran,” katanya.
Dr Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata demikian sempena Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan dan Buka Puasa di Sokid Villa pada Rabu petang.
Antara yang dilantik ialah Datuk Ellron Alfred Angin sebagai Pengerusi Biro Manifesto, Datuk Robert Tawik @ Nordin (Luar Bandar), Datuk Martin Idang (Perlembagaan dan Undang-Undang), Datuk Annuar Ayub Aman (Minyak dan Gas), Ir Awang Saleh Hj Makmud (Integrasi dan Perpaduan) serta Stephen Chong (Ekonomi Digital).
Turut menerima watikah ialah dua mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bingkor, Datuk Justin Guka (Pertanian) dan Datuk Lawrence Gimbang (Penyelaras Star Parlimen Keningau).
Menurut Dr Jeffrey, pembentukan biro-biro adalah menjurus kepada tugas dan tanggungjawab dalam kerajaan yang melibatkan pelbagai kementerian, jabatan dan agensi.
Dr Jeffrey menjelaskan, pelaksanaan tugas-tugas biro adalah berdasarkan kepada terma-terma dan rujukan untuk menjadikan perjuangan parti terus releven dengan peredaran masa dan kemas kini dengan tanggungjawab kepada rakyat.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

