Kematian Akibat COVID-19 Menurun 4 Hari Berturut-Turut

17 Apr 2022 • 12:56 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
12 kes kematian direkodkan akibat jangkitan COVID-19 semalam dengan 6 kes adalah BID. - Gambar fail

KUALA LUMPUR - Angka kematian baharu akibat COVID-19 menunjukkan penurunan bagi empat hari berturut-turut apabila merekodkan 12 kes semalam, termasuk enam kes berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).

Berdasarkan laman sesawang COVIDNOW, kematian baharu itu menjadikan jumlah keseluruhannya mencecah 35,409 kes dengan 7,484 daripadanya adalah kes BID.

Menurut data Kementerian Kesihatan (KKM), kes kematian dicatatkan pada Rabu lalu adalah 22 kes, manakala masing-masing 18 dan 16 pada Khamis serta Jumaat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes baharu COVID-19 direkodkan semalam adalah 9,705 kes, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif individu dijangkiti virus berkenaan setakat ini , seramai 4,382,402 orang.

Jelasnya, jumlah baharu itu membabitkan 9,675 kes tempatan dan 30 kes import.

Dr Noor Hisham memaklumkan, sebanyak 108,522 kes aktif direkodkan semalam dengan 105,745 atau 97.4 peratus menjalani kuarantin di rumah, 357 dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC), manakala 2,268 dirawat di hospital.

“Bagi kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) setakat ini, sebanyak 134 kes dilaporkan dengan 72 kes disahkan COVID-19, manakala 62 disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

“Kes memerlukan bantuan pernafasan adalah 81 kes, iaitu 44 kes disahkan COVID-19, selain 37 kes disyaki, kemungkinan  dan dalam siasatan.

“Sebanyak 14,346 kes sembuh direkodkan semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih daripada virus tersebut adalah sebanyak 4,238,471 kes,” katanya. - Getaran, 17 April 2022