
Acapkali tiba bulan Ramadan, buah kurma boleh dikatakan adalah salah satu juadah buka puasa yang utama buat umat Islam. Bahkan, berbuka puasa dengan kurma juga merupakan sunnah Nabi Muhammad SAW.
Terdapat pelbagai jenis buah kurma yang berada di pasaran. Antara buah kurma yang popular di Malaysia ialah seperti kurma ajwa, kurma safawi, kurma mariami, kurma medjool dan sebagainya.
Pada artikel kali ini, kita akan membincangkan 5 kelebihan buah kurma untuk kesihatan yang rasanya masih ramai yang tidak ambil peduli. Selamat membaca!

1. Pembekal Sumber Tenaga
Menurut fakta nutrisi, kira-kira 75 hingga 80 peratus kandungan buah kurma adalah terdiri daripada gula semulajadi. Manakala pecahan kandungan yang lain ialah seperti protein, serat serta mineral seperti magnesium, zink, fluorin, kobalt dan juga boron (Sumber).
Berbuka puasa dengan makanan yang manis seperti kurma adalah sangat digalakkan. Ini kerana kurma mengandungi sumber tenaga penting seperti glukosa, fruktosa dan sukrosa yang dapat membantu anda kembali bertenaga semula dengan kadar yang singkat (Sumber).
Dengan hanya mengambil kira-kira beberapa biji kurma setiap hari, ianya mampu membekalkan lebih daripada 15% keperluan sumber mineral harian (Sumber). Sekiranya anda kerap merasa letih, boleh cuba amalkan buah kurma di dalam rutin harian anda.
2. Bagus untuk Sistem Pencernaan
Selain bagus sebagai pembekal tenaga segera, buah kurma juga mempunyai kandungan serat yang tinggi dan dipercayai mampu membantu mencegah sembelit serta meningkatkan kesihatan sistem pencernaan anda.
Menurut satu kajian yang diterbitkan oleh British Journal of Nutrition, para penyelidik mendapati subjek kajian yang ditugaskan untuk makan sekitar tujuh biji buah kurma setiap hari mengalami peningkatan dalam kekerapan pergerakan usus serta tahap pengurangan bahan kimia najis yang diketahui boleh merosakkan sel atau mencetuskan mutasi yang mampu menyumbang kepada kanser (Sumber).

3. Membantu Mengekalkan Kesihatan Tulang
Pengambilan nutrien yang betul sangat penting untuk membantu mengekalkan kesihatan tulang seseorang. Tanpa simpanan nutrisi yang mencukupi, kesihatan tulang mungkin akan terganggu dan cepat rapuh.
Menerusi satu publikasi yang dikeluarkan oleh North Dakota State University, para pengkaji mencadangkan bahawa buah kurma yang mengandungi boron adalah salah satu makanan nutrisi yang menggalakkan kesihatan tulang (Sumber).
4. Meningkatkan Kesihatan Otak
Bukan sahaja baik untuk tulang, buah kurma juga dikatakan mampu untuk meningkatkan kesihatan otak.
Hal ini terbukti menerusi pelbagai kajian dan penyelidikan mengenai kurma yang berkait dengan kesihatan otak. Menurut satu kajian sains kesihatan telah mendapati diet yang kaya dengan buah kurma mampu untuk meningkatkan daya ingatan dan pembelajaran (Sumber).
Malah buah kurma juga mempunyai potensi terapeutik terhadap penyakit Alzheimer kerana keupayaannya untuk memerangi keradangan dan tekanan oksidatif di dalam otak (Sumber).
5. Membantu Mencegah Rabun Malam
Kekurangan vitamin A adalah salah satu penyebab utama rabun malam. Berdasarkan satu kertas kajian, buah kurma yang mempunyai kandungan karetonoid dikelaskan sebagai sumber utama pro-vitamin A selain lobak merah, melon dan labu (Sumber).
Andai anda mempunyai masalah rabun malam, pengambilan buah kurma secara konsisten mungkin boleh membantu untuk mencegah masalah tersebut.
Duan Deris adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!
*Newswav adalah platform pengagregatan dan semata-matanya mengehoskan kandungan. Pandangan yang dinyatakan dan kandungan di atas termasuk media (gambar, video, dan lain-lain) adalah dimuatnaik oleh pengarang. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.


