Wai Ching kekal rekod tanpa kalah

3 Apr 2022 • 4:39 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

PELARI menara negara, Soh Wai Ching meneruskan rentak cemerlang tanpa kalah sebanyak 18 kali dalam pertandingan larian menara di seluruh dunia apabila mengungguli Big Climb Houston di Amerika Syarikat (AS) pagi Ahad.

Menerusi perkongsian di Instagramnya, pelari berusia 27 tahun itu memecahkan rekod lapangan 4:42 saat apabila merakam masa 5:21 saat ketika menamatkan larian yang membabitkan 50 tingkat dan 1,065 anak tangga bangunan Three Allen Center di tengah bandaraya Houston.

"Terima kasih kepada Big Climb Houston kerana menerima saya dalam pertandingan ini. Terima kasih juga kepada rakan-rakan senegara di Houston kerana mengejut saya pada awal pagi dan hadir ke lokasi pertandingan untuk memberi sokongan.

"Saya sangat gembira apabila berjaya memecahkan rekod lapangan iaitu enam minit 42 saat kepada lima minit 21 saat.

"Lokasi pertandingan yang sangat menarik dan saya suka tangga di Three Allen Center," katanya.

Pada kejohanan tersebut, tempat kedua dimenangi atlet tempatan, Malcolm Burleson yang membuat penampilan sulung dengan masa catatan masa 5:48, manakala Douglas Schroeder di tangga ketiga selepas mencatat 7:50.

Verity Rees dari Amerika Syarikat pula bertindak hebat untuk mendominasi kategori wanita dengan masa 8:19 dan kelima keseluruhan.

Dalam pada itu, Wai Ching berkata, beliau akan mencuba mengekalkan rekod tanpa kalah itu pada pertandingan seterusnya iaitu Fight For Air Climb San Francisco (555 California St, San Francisco) pada 9 April.

"Saya mahu mengekalkan rekod ini selama mungkin yang boleh sekalipun ranking dunia masih dibekukan ketika ini," katanya.

Untuk rekod, sejak Disember 2019, Wai Ching yang juga pelari menara ranking nombor satu Asia, berjaya menewaskan Lobodzinski sekali pada pertandingan Almas Tower Vertical Run di Dubai pada Februari 2020, sebaik sebelum pandemik Covid-19 melanda dunia.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved