
Penat dan letih adalah dugaan yang biasa ketika berpuasa di bulan Ramadan. Namun begitu, apa yang dikesalkan adalah ramai yang menggunakan alasan letih berpuasa untuk sengaja melengah-lengahkan sesuatu pekerjaan.
Perkara seperti ini tidak sepatutnya terjadi dan jika dibiarkan boleh mengurangkan tahap kerja dan produktiviti seseorang. Sekiranya anda mahu mengekalkan produktiviti di bulan Ramadan, boleh cuba beberapa tips yang dikongsikan seperti berikut.

1. Jangan skip sahur
Sahur adalah salah satu perkara yang sangat ditekankan ketika berpuasa. Meskipun ianya tidak wajib, amalan sahur sangat digalakkan di dalam Islam.
Andai tidak bersahur, anda tidak akan mempunyai tenaga yang cukup untuk meneruskan aktiviti-aktiviti harian. Ini akan menyebabkan tahap dan kualiti kerja terganggu.
Biasakan untuk bangun sahur walaupun dengan hanya makan beberapa biji kurma dan air kosong.
“Bersahurlah, sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan”.
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
2. Jangan tidur selepas sahur
Sekiranya anda berjaya bangun untuk bersahur, ianya adalah sesuatu perkara yang sangat bagus. Namun begitu, usai bersahur sebolehnya kita isi masa lapang tersebut dengan perkara-perkara yang bermanfaat.
Jangan tidur selepas sahur. Amalan tidur dalam jangka masa 2 jam selepas makan akan menyebabkan makanan tidak sempat dicerna dengan betul dan akhirnya boleh mengakibatkan gangguan pada saluran pencernaan serta penyerapan nutrien tubuh (Sumber).

3. Tidur sekejap di waktu tengahari (Qailullah)
Di dalam Islam, tidur sekejap pada waktu tengahari dinamakan ‘Qailullah’. Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Qailullah adalah sunnah dan ianya juga boleh dianggap seperti berehat meskipun tidak tidur (Sumber).
Jika di dalam bidang sains perubatan, amalan tidur sekejap pada waktu tengahari juga dikenali sebagai ‘Power Nap’ dan ianya dipercayai mampu untuk meningkatkan daya ingatan, kemahiran kognitif, kreativiti, dan tahap tenaga seseorang (Sumber).
Justeru dengan itu, anda digalakkan untuk tidur sekejap pada waktu tengahari sekiranya mahu mengekalkan produktiviti di bulan Ramadan.
4. Rancang aktiviti harian
Untuk mengekalkan kualiti dan produktiviti ketika di bulan Ramadan, anda haruslah sentiasa merancang aktiviti harian anda. Setiap waktu pekerjaan haruslah disusun dengan teliti dan bijak.
Perancangan yang bagus akan membolehkan anda mengawal dan menyempurnakan sesuatu pekerjaan dengan lebih berjaya.
5. Minum air secukupnya

Menurut infografik yang disediakan oleh InfoSihat.gov.my, anda harus minum air kosong 8 gelas sehari untuk kekal hidrat di bulan Ramadan. Antara waktu-waktu yang disarankan untuk minum air kosong adalah seperti berikut:
- Selepas bangun tidur
- Semasa sahur
- Selepas azan Maghrib
- Selepas solat Maghrib
- Semasa mengambil hidangan berat
- Selepas solat Isyak
- Selepas solat Terawih
- Sebelum tidur
Boleh cuba tips ini untuk memastikan badan anda tidak mengalami dehidrasi yakni masalah kekurangan air di dalam badan.
Duan Deris adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!
*Newswav adalah platform pengagregatan dan semata-matanya mengehoskan kandungan. Pandangan yang dinyatakan dan kandungan di atas termasuk media (gambar, video, dan lain-lain) adalah dimuatnaik oleh pengarang. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.


