Kes Baharu COVID-19 Terus Meningkat, Selangor Tertinggi

7 Apr 2022 • 1:37 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar fail

KUALA LUMPUR - Kes baharu COVID-19 masih meningkat apabila mencatatkan 12,105 kes semalam, berbanding 12,017 kes kelmarin dengan Selangor menjadi negeri tertinggi merekodkan kes virus terbabit, iaitu 6,783 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, angka baharu dicatatkan negara itu menjadikan jumlah kumulatif individu dijangkiti virus berkenaan setakat ini adalah 4,280,591 orang.

Menurutnya, jumlah baharu itu membabitkan 12,062 kes tempatan dengan 43 kes import.

Beliau berkata, mengikut statistik, Negeri Sembilan menjadi negeri kedua tertinggi mencatatkan kes semalam, iaitu 826 kes, diikuti Kuala Lumpur (733), Perak (622), Pulau Pinang (508), Johor (426), Terengganu (416), Sarawak (415), Kedah (400) dan Pahang (320).

Melaka pula, katanya, mencatatkan 206 kes baharu, manakala Sabah (188), Kelantan (150), Putrajaya (54), Perlis (41) dan Labuan (17).

“Lebih separuh atau 6,623 kes dengan 54.71 peratus daripada jumlah jangkitan semalam, membabitkan pesakit kategori 1, iaitu tidak bergejala, manakala 5,387 kes berada dalam kategori 2 atau bergejala ringan.

“Sebanyak 40 kes pula berada dalam kategori 3, manakala kategori 4 (17) dan kategori 5 (38),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, daripada 95 kes COVID-19 membabitkan kategori 3, 4 dan 5 dilaporkan semalam, 28 kes atau 29.47 peratus tidak divaksinasi atau belum lengkap mendapatkan suntikan tersebut.

Katanya, 30 kes atau 31.58 peratus sudah menerima dua dos vaksin COVID-19 tetapi belum menerima dos penggalak, manakala 37 kes atau 38.95 peratus membabitkan individu selesai mendapatkan dos penggalak.

“Selain itu, 51 kes atau 53.68 peratus adalah dalam kalangan individu berumur 60 tahun ke atas dan 57 kes atau 60 peratus mempunyai komorbiditi serta tiada kes membabitkan ibu hamil,” katanya.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham memaklumkan, sebanyak 32 kes kematian baharu direkodkan semalam dengan sembilan kes kematian berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).

Jelasnya, angka baharu kematian itu menjadikan jumlah kumulatifnya mencecah 35,192 kes dengan 7,434 daripadanya adalah kes BID.

Kes kematian paling tinggi, katanya, masing-masing dicatatkan di Selangor dan Johor dengan tujuh kes, disusuli Perak (5) serta Terengganu (4).

Manakala Kedah dan Melaka masing-masing merekodkan tiga kes, selain Negeri Sembilan, Perlis serta Kuala Lumpur mencatatkan satu kes di setiap negeri.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 162,216 kes aktif direkodkan semalam dengan 158,343 atau 97.6 peratus menjalani kuarantin di rumah, 373 dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC), manakala 3,279 dirawat di hospital.

Ujarnya, bagi kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) setakat ini, sebanyak 221 kes dilaporkan dengan 106 kes disahkan COVID-19, manakala 115 kes disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

“Kes memerlukan bantuan pernafasan adalah 122 kes, iaitu 53 kes disahkan COVID-19, manakala 69 kes disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan,” katanya.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, tiada kluster baharu dilaporkan semalam dengan 151 kluster aktif dan secara keseluruhan, sebanyak 6,941 kluster direkodkan di negara ini sejak pandemik berkenaan dikesan.

“Sebanyak 21,029 kes sembuh direkodkan setakat semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih daripada virus tersebut adalah sebanyak 4,083,183 kes,” katanya - Getaran, 7 April 2022