Kenaikan Geran Khas Sabah perlu sistem penyampaian berkesan

LocalPolitics
15 Apr 2022 • 12:18 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Kenaikan Geran Khas Kerajaan Persekutuan untuk Sabah perlu dilaksana bersama sistem penyampaian yang lebih berkesan bagi memastikan geran disalurkan itu dapat dimanafaatkan sepenuhnya untuk pembangunan negeri ini, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Sambil menyambut baik kenaikan pemberian khas itu, beliau berkata ia tidak akan bermakna sekiranya sistem penyampaian masih ditakuk lama terutama melibatkan sebarang keputusan atau tindakan memakan masa yang lama menyebabkan program pembangunan yang dirancang melalui geran itu terbantut.

“Saya mengulangi saranan agar Sabah diberikan kuasa autonomi penuh mengurus dana tersebut bagi tujuan pembangunan negeri ini. Serahkan terus semua dana khas itu kepada kerajaan negeri, biar kami mengurusnya kerana penduduk tempatan lebih tahu akan keperluannya,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Bung Moktar berkata jika sistem lama pemberian dana secara berperingkat masih digunakan, hasrat untuk memacu proses pembangunan berjalan lancar di negeri ini tidak akan tercapai dan ini sekali gus tidak akan dapat mengeluarkan Sabah sebagai antara negeri yang termiskin di negara ini.

Menurutnya setelah 53 tahun perkara ini tidak pernah disemak pengumuman kadar kenaikan pemberian khas itu sebanyak 4.7 kali ganda daripada RM26.7 juta kepada RM125.6 juta bagi tahun ini merupakan khabar gembira untuk rakyat Sabah.

“Sudah tentu kami menghargai dan berterima kasih kepada kerajaan pusat di mana melalui kenaikan ini lebih banyak program program pembangunan dapat dilaksanakan demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor dalam kenyataan bersama hari ini dilaporkan berkata pemberian geran khas baharu untuk Sabah meningkat 4.7 kali ganda iaitu daripada RM26.7 juta kepada RM125.6 juta bagi tahun 2022.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.