
Kota Kinabalu: Kenaikan Geran Khas Kerajaan Persekutuan untuk Sabah akan membantu memacu agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya dalam membangunkan negeri ini untuk rakyat,” kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.
Hajiji berkata kerajaan negeri mengalu-alukan kenaikan itu dan ia menunjukkan bahawa kerajaan Persekutuan bersedia untuk mendengar pendapat negeri ini dan ia adalah petanda positif.
“Ia adalah perkembangan yang sangat baik bagi Sabah. Kenaikan empat kali ganda daripada RM26.7 juta kepada RM125.6 juta bermula tahun ini, akan benar-benar memberi manfaat kepada Sabah. “Bagaimanapun, rundingan masih berjalan untuk mendapatkan 40 peratus seperti yang dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963,” kata Ketua Menteri dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Terdahulu, Ketua Menteri menghadiri mesyuarat mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) khususnya mengenai Geran Khas yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melalui sidang video, turut dihadiri Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Ismail Sabri dan Hajiji dalam kenyataan bersama pada Khamis melaporkan pemberian geran khas baharu untuk Sabah meningkat 4.7 kali ganda daripada RM26.7 juta kepada RM125.6 juta bagi tahun 2022.

