Bantuan Khas Aidilfitri RM500 kepada penjawat awam, RM250 kepada pesara: PM

5 Apr 2022 • 1:38 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju memberikan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah, termasuk kakitangan di bawah skim Contract Of Service, Contract For Service, pegawai sambilan harian serta lantikan di bawah MySTEP.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob(gambar) berkata kerajaan juga akan memberikan bantuan khas sebanyak RM250 kepada pesara kerajaan.

“Pembayaran bagi bantuan khas ini akan dibuat bersama dengan pembayaran gaji April iaitu pada 25 April 2022.

“Bantuan khas tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM923 juta dan akan memanfaatkan lebih dua juta penjawat awam dan pesara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri berkata pengumuman Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri pada tahun ini dibuat lebih awal sebagai langkah keprihatinan kerajaan dalam membantu rakyat membuat perancangan awal dan persiapan bagi menyambut Aidilfitri.

Katanya, pemberian itu juga sebagai menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada Keluarga Malaysia.

Kerajaan berharap dengan pemberian bantuan khas tersebut dapat meringankan beban kewangan penjawat awam dan pesara serta dijadikan sebagai pemangkin kepada mereka untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi.-Bernama