Bantuan Khas Sempena Aidilfitri, CUEPACS Harap Semua Berlapang Dada

5 Apr 2022 • 6:35 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
CUEPACS berharap semua pihak berlapang dada dengan keputusan kerajaan memberikan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri kepada kakitangan kerajaan. - Gambar fail

KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap semua pihak berlapang dada dan tidak mempertikaikan keputusan kerajaan memberikan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri kepada penjawat awam.

Menurut Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat, kerajaan adalah majikan kepada penjawat awam dan tidak menjadi kesalahan untuk golongan pekerja sektor itu meminta sesuatu bantuan.

“Pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 yang diumumkan Perdana Menteri hari ini bukti penghargaan kerajaan kepada penjawat awam.

“CUEPACS harap semua penjawat awam dapat meneruskan momentum kecemerlangan dalam menjalankan amanah diberi bagi menjayakan agenda pemulihan ekonomi serta dasar prihatin rakyat," katanya menerusi kenyataan.

image is not available
Adnan Mat

Beliau berkata, bantuan khas diterima penjawat awam itu turut memberi manfaat dan kesan tidak langsung kepada ekonomi negara.

“Daripada sudut luas, pemberian bantuan khas ini secara tidak langsung memberi impak positif kepada ekonomi dan rakyat apabila wang tersebut beredar ke pasaran.

“Bantuan khas tersebut sudah pasti akan dibelanjakan untuk membeli barangan keperluan dan ia akan memanfaatkan peniaga kecil, pasaraya besar serta sektor ekonomi lain.

“Tambahan pula ramai rakyat yang berniaga di musim perayaan bagi menambah pendapatan mereka,” ujarnya.

Terdahulu, hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah, selain RM250 untuk pesara kerajaan.

Pembayaran bantuan khas itu akan dibuat bersama dengan pembayaran gaji April, iaitu pada 25 April 2022. - Getaran, 5 April, 2022